FOTO fail pada 13 Mac menunjukkan peserta demonstrasi di Yangon memegang poster Suu Kyi. FOTO AFP
FOTO fail pada 13 Mac menunjukkan peserta demonstrasi di Yangon memegang poster Suu Kyi. FOTO AFP
AFP

Yangon: Pemimpin Myanmar yang digulingkan Aung San Suu Kyi sudah menjalani tahanan rumah selama tiga bulan di Naypyidaw, sehingga hari ini.

Negara itu mengalami huru-hara sejak tentera merampas kuasa selepas menahan Suu Kyi yang juga Kaunselor Negara dan Presiden Myanmar Win Myint, pada 1 Februari lalu.

Ia selepas tentera Myanmar menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum November lalu.

Tentera Myanmar kemudian mengisytiharkan darurat selama setahun dan melantik Panglima Angkatan Tenteranya, Jeneral Min Aung Hlaing sebagai pemangku Presiden.

Suu Kyi kemudian didakwa atas enam pertuduhan termasuk menghasut dan dakwaan mengikut akta rahsia rasmi negara itu.

Bagaimanapun, pemimpin itu menafikan semua pertuduhan berkenaan dan dipercayai tidak dibenarkan untuk bertemu secara bersemuka dengan peguamnya.

Sebaliknya, Suu Kyi hanya bercakap dengan peguamnya menerusi beberapa siri panggilan video yang dipantau oleh pegawai keselamatan, kata peguamnya kepada AFP.

Salah seorang daripada peguamnya, Min Min Soe berkata, Suu Kyi tidak mempunyai akses kepada maklumat mengenai apa yang terjadi di seluruh negara.

"Saya fikir dia (Suu Kyi) tidak mempunyai akses untuk berita dan televisyen. Saya tidak fikir dia (Suu Kyi) tahu situasi semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Mei 2021 @ 10:48 AM