GAMBAR fail menunjukkkan Suu Kyi (kiri) bersama Win Myint. FOTO AFP
GAMBAR fail menunjukkkan Suu Kyi (kiri) bersama Win Myint. FOTO AFP
AFP

Yangon: Pemimpin Myanmar yang digulingkan, Aung San Suu Kyi dipindahkan daripada tahanan rumah ke kurungan bersendirian di perkarangan penjara di ibu negara yang dibina tentera Naypyidaw, kata jurucakap Junta pada Khamis.

"Selaras dengan undang-undang jenayah... (Aung San Suu Kyi) telah ditahan dalam kurungan bersendirian di penjara, sejak Rabu, kata Zaw Min Tun dalam satu kenyataan.

Sejak penyingkirannya dalam rampasan kuasa tahun lalu, Suu Kyi berada di bawah tahanan rumah di lokasi yang tidak didedahkan di Naypyidaw, ditemani beberapa kakitangan domestik dan anjingnya, menurut sumber yang mengetahui perkara itu.

Pemenang Hadiah Nobel, 77, itu hanya meninggalkan premis itu untuk menghadiri perbicaraannya di mahkamah Junta yang boleh menyebabkan beliau dipenjara lebih 150 tahun.

Peguam Suu Kyi dilarang daripada bercakap kepada media dan wartawan dihalang daripada perbicaraan.

Di bawah rejim Junta sebelum ini, beliau menghabiskan masa yang lama di bawah tahanan rumah di rumah agam keluarganya di Yangon, bandar terbesar di Myanmar.

Beliau disabitkan dengan rasuah, menghasut terhadap tentera, melanggar peraturan Covid-19 dan melanggar undang-undang telekomunikasi, dengan mahkamah menjatuhkan hukuman 11 tahun kepadanya setakat ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 23 Jun 2022 @ 3:40 PM