AFP

Yangon: Tentera Myanmar sekali lagi menangguhkan prosiding kes mahkamah terhadap pemimpin yang digulingkan Aung San Suu Kyi pada Isnin, kata peguamnya, ketika mereka memperjuangkan kebenaran untuk melawat wanita itu selepas 12 minggu ditahan.

Myanmar dalam kekacauan sejak tentera junta menggulingkan pemenang Hadiah Nobel itu, dalam kudeta 1 Februari lalu.

Sebahagian besar penduduk turun ke jalanan untuk protes dan bertempur dengan pasukan keselamatan.

Sementara itu, Suu Kyi ditahan di rumah, dengan junta mendakwanya di bawah enam kes termasuk hasutan dan memiliki 'walkie-talkie' tanpa izin.

Tetapi kesnya sekali lagi ditangguhkan sehingga 10 Mei, kata peguamnya Min Min Soe Isnin selepas prosiding kes itu.

Dua belas minggu sejak Suu Kyi ditahan, Min Min Soe mengatakan peguam masih belum mendapat kebenaran untuk bertemu anak guam mereka secara langsung.

"Saya rasa dia (Suu Kyi) tidak mendapat akses menonton berita dan televisyen. Saya rasa dia (Suu Kyi) tidak mengetahui keadaan semasa di negara ini," katanya.

Selain tidak dapat bertemu dengan Suu Kyi, penutupan data telekomunikasi mudah alih yang dikenakan junta juga menghalang persidangan video dalam perbicaraan sebelumnya.

Tuduhan paling serius yang dihadapi Suu Kyi berada di bawah akta rahsia rasmi Myanmar, dengan perbicaraan akan berlangsung di Yangon pada 6 Mei.

Tunjuk perasaan di seluruh negara berterusan pada Isnin dengan penunjuk perasaan di selatan memegang papan tanda yang mengatakan 'Bebaskan pemimpin kita' dan mengibarkan bendera merah yang dilekatkan dengan merak emas - simbol Parti Liga Kebangsaan untuk Demokrasi (NLD) pimpinan Suu Kyi.

Junta melakukan rampasan kuasa dengan mendakwa ia melindungi demokrasi, dengan tuduhan penipuan pilihan raya pada November yang dimenangi oleh NLD.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 27 April 2021 @ 10:27 AM