DONALD Trump. FOTO fail AFP
DONALD Trump. FOTO fail AFP
AFP

Washington: Donald Trump, pada Jumaat, menyambut ulang tahun kelahiran ke-78, menjadikannya hanya tiga tahun lebih muda berbanding pesaingnya untuk jawatan presiden Amerika Syarikat (AS) iaitu Joe Biden.

Sesiapa yang memenangi pilihan raya presiden pada November ini, akan mencatat rekod baharu.

Pada usia 81 tahun, Biden sudah menjadi orang tertua memegang jawatan itu. Jika Trump menang, beliau akan menjadi individu paling tua di majlis angkat sumpah presiden seterusnya.

Trump, dibantu oleh ekosistem media sayap kanan, berusaha dengan berhati-hati untuk membina imej yang bertenaga, berbeza dengan Biden yang secara rutin dilabelkan 'mengantuk' atau nyanyuk.

Sama ada mengadakan sesi bergambar dengan personaliti seni mempertahankan diri atau mempersembahkan tarian pendek pada penghujung perhimpunan, Trump banyak berusaha untuk tampil sebagai calon bertenaga.

Penggunaan kosmetik dan penyembur rambut yang berlebihan biasanya memberinya Trump dengan imej berkulit sawo matang dan tampak lebih muda.

Pada 13 Jun lalu, Trump menerima ucapan selamat hari jadi yang meriah di Washington daripada ahli Republikan di Kongres.

Biden dan Trump sebelum ini mendapat pencalonan mencukupi daripada perwakilan parti mereka untuk dipilih sebagai calon untuk Pilihan Raya Presiden AS 2024.

Ia sekali gus menyaksikan pertandingan ulangan untuk calon sama untuk Pilihan Raya Presiden AS, pertama dalam tempoh 70 tahun.

Biarpun disabitkan dengan pertuduhan kes jenayah baru-baru ini, Trump masih boleh berkempen dan bertanding untuk jawatan pemimpin nombor satu itu.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 15 Jun 2024 @ 2:28 PM