Yusri Abdul Malek


SEBUT candat, pasti dikaitkan dengan Terengganu. Saban tahun sejak 1980-an, aktiviti candat atau mencandat sotong ini menjadi popular dan acara wajib antara April hingga September setiap tahun.

Pada musim ini, jutaan sotongmuncul di perairan laut Terengganu terutama di Pulau Kapas, Pulau Bidong, Pulau Perhentian dan Pulau Tenggol. Malah, kehadiran bot-bot candat menghiasi laut malam dengan cahaya lampu yang terang benderang.

Kata nelayan, penggunaan lampu yang terang antara kaedah menarik perhatian sotong untuk muncul di permukaan air, semakin terang lampu semakin banyak sotong akan berkumpul.

Mencandat sotong adalah pekerjaan turun-temurun nelayan tradisional yang masih kekal hingga kini. Untuk melakukan aktiviti ini, ia memerlukan kemahiran dan pengalaman selain tidak mudah mabuk laut.

Baru-baru ini, penulis berkesempatan bersama 10 rakan wartawan mencuba 'kejaguhan' untuk mendaratkan seberapa banyak sotong terutama jenis torak dan jarum.

Kami memulakan perjalanan dari Kuala Lumpur jam 6 petang sebelum tiba di inap desa di Marang jam 1 pagi. Perjalanan melalui Lebuhraya Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (LPT) agak lancar kerana tidak banyak kenderaan.

Dengan persiapan rapi dari segi mental dan fizikal ditambah pula dengan peralatan memancing yang baharu, semangat kami berkobar-kobar untuk turun ke laut.

Sebelum itu, kami berkesempatan bertemu Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Terengganu, Datuk Razali Idris dan Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu, Ahmad Ridzwan Abd Rahman bagi bersembang mengenai aktiviti pelancongan mencandat di negeri itu.

Sebaik mengambil pil bagi mengelak mabuk laut, kami bergerak dengan bot melalui jeti Marang ke lokasi mencandat di sekitar perairan Pulau Kapas pada jam 5 petang dengan jarak perjalanan dianggar memakan masa hampir satu jam.

BERGAMBAR kenangan sebelum memulakan perjalanan untuk mencandat.
BERGAMBAR kenangan sebelum memulakan perjalanan untuk mencandat.

Ketika itu, sudah ada beberapa bot candat lain yang sudah tiba di lokasi menjadi kandang atau lubuk sotong untuk mencuba nasib.

Bot nelayan kami yang dikendalikan tekong otai, Pak Hasan bersama anaknya melabuhkan sauh sebelum kami segera mencampak candat bagi menjadi orang pertama menaikkan sotong.

Pak Hasan turut berkongsi petua dan cara mencandat serta pada masa sama menunjukkan candat yang paling digemari sotong pada musim kali ini.

Kami kmengambil posisi masing-masing dan ketika itu juga bot mula berbuai-buai lembut dialun ombak.

DUA sotong yang berjaya dicandat Jamil.
DUA sotong yang berjaya dicandat Jamil.

Masa itu, kami masih boleh berjenaka dan mengusik sesama sendiri sambil tangan masing-masing sibuk 'mengenjut' joran bagi menarik sotong.

Asrizal dari unit multimedia yang pertama kali mencuba aktiviti candat menjadi orang pertama menaikkan sotong.

Jeritannya memaklumkan berjaya menjadi orang pertama menaikkan sotong membakar semangat rakan lain.

Beberapa minit kemudian Asrizal sekali lagi menaikkan sotong kedua manakala yang lain hanya ternganga kerana candat belum terusik.

AZAM (kiri) dan Jamil (kanan) bersama sebahagian hasil tangkapan.
AZAM (kiri) dan Jamil (kanan) bersama sebahagian hasil tangkapan.

Penulis yang mula pening kerana dibuai olengan bot kemudian mencari lokasi dalam badan bot untuk memejamkan mata seketika sebelum mencuba semula apabila pening mulai reda.

Ketika itu, rakan lain Mat Jan dan Zaid Salim juga mengikut jejak penulis 'merehatkan' mata manakala Harry, Azam, Haidan, Isma, Jamil, Asrizal, Pak Hasan dan anaknya terus gigih mencandat.

Dalam melayan olengan bot, suasana dalam bot agak muram.

Tiba waktu makan malam yang disediakan dalam bot dengan masakan sotong masak sambal dengan nasi dan kopi panas, hanya Harry yang berselera manakala yang lain hanya melayan kopi.

ASRIZAL bersama sotong yang dicandat.
ASRIZAL bersama sotong yang dicandat.

Muka masing-masing agak kelat kemungkinan pil mabuk dimakan sudah hampir tamat keberkesanannya dan pada masa sama, sedang menahan bagi mengelak muntah.

Hening malam dikejutkan dengan bunyi 'wek...wek...'rupanya Haidan gagal menahan mabuk dan tanpa segan mengeluarkan semula nasi dagang, ikan singgang yang dijamah sebelum menaiki bot.

Masing-masing ada yang ketawa kecil tetapi dalam hati, 'jangan pulak aku selepas ini.'

Tiba-tiba laut bergelora diikuti angin kencang dan hujan. Masa tu, masing-masing bertumpu di dalam badan bot untuk berlindung. Hujan dan olengan makin kuat, ada bot candat lain sudah meninggalkan lokasi untuk pulang ke jeti.

SUASANA senja di tengah lautan.
SUASANA senja di tengah lautan.

Tekong memaklumkan ia angin atau ribut dari darat. Agak-agak dua jam juga keadaan laut bergelora dan sebaik reda, tekong beralih ke lokasi lain untuk memancing kerana selepas ribut sotong dikatakan kurang menggalakkan.

Pada masa itu jam sudah menunjukkan 3 pagi, jadi ramai yang meneruskan 'tidur' manakala Jamil gigih memancing dan berjaya menaikkan beberapa ikan termasuk jenahak dan blotan.

Selepas Subuh, kami mula berkemas untuk pulang ke jeti. Walaupun hasil agak sedikit, namun pengalaman berdepan ribut adalah paling berharga.

Kejadian yang berlaku tidak sedikit pun mematahkan semangat, malah kami bertekad untuk datang lagi mencuba nasib pada tahun depan.

Aktiviti mencandat ini patut dicuba kerana ia memberi satu pengalaman atau kelainan, setidak-tidaknya dapat menyelami pahit getir hidup sebagai nelayan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:31 AM