BARISAN artis popular tanah air bakal gamatkan Dataran MITC bagi lokasi ketiga siri jelajah KJH2024.
BARISAN artis popular tanah air bakal gamatkan Dataran MITC bagi lokasi ketiga siri jelajah KJH2024.
Ridzuan Abdul Rahman


BARISAN selebriti popular tanah air seperti Muaz Zabir, Bella Astillah, Isyariana, Afieq Shazwan, Shaza Bae, Fasha Sandha, Naqiu, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Puteri Khareeza, Zamani Slam dan ramai lagi akan menggamatkan Karnival Jom Heboh (KJH) yang akan berlangsung di Dataran MITC, Ayer Keroh, Melaka bermula esok hingga Ahad ini.

Kedatangan KJH ke negeri bersejarah itu pastinya disambut meriah penduduk Melaka kerana sudah hampir lima tahun tidak diadakan di sana.

Ia juga diadakan sempena Tahun Melawat Melaka (TMM) 2024.

Penganjur berkata,aktiviti disediakan kali ini pasti akan menghiburkan pengunjung yang hadir.

"Acara tahunan dianjurkan TV3 ini sudah berlangsung penuh meriah dan sambutan luar biasa. KJH edisi 2024 yang berturut-turut ketika menawan Sarawak dan Putrajaya pada Januari dan Mei lalu berjaya mencatat kejayaan besar dengan mampu menarik lebih 500,000 pengunjung.

"Bagi meneruskan kejayaan ini, Melaka dipilih sebagai lokasi ketiga siri jelajah tahun ini. Lebih istimewa lagi, Kerajaan negeri sudah melancarkan TMM 2024 bertemakan Mana Lagi? Melaka Ler! yang semestinya memeriahkan lagi suasana karnival dengan kunjungan masyarakat tempatan dan pelancong luar negara," katanya.

Sepanjang tiga hari 'berkampung' di Melaka, pelbagai aktiviti dirancang untuk memberi hiburan serta kenangan kepada warga selatan.

Hadiah menarik turut disediakan menerusi Studio Tonton Drama Sangat (TV3, TV9, Tonton), Studio Jom Heboh, New Straits Times Press Berhad (New Straits Times, Berita Harian, Harian Metro), Hot FM dan Kool 101.

Keseronokan berterusan apabila Studio Tonton Drama Sangat bakal menampilkan barisan selebriti yang membintangi program popular di Tonton, TV3 dan TV9. Pengunjung juga berpeluang bertemu dan meluangkan masa bersama mereka.

"Bagi malam kedua dan ketiga, pengunjung akan dihiburkan dengan acara kemuncak, Konsert Jom Heboh yang akan dihoskan Muaz Mohamed dan Aisha Mazlin.

"Konsert pada Sabtu ini akan dimeriahkan penyanyi seperti Naqiu, Indah Ruhaila, Sufian Suhaimi, Puteri Khareeza, Zamani Slam dan Drama Band.

"Manakala pada hari Ahad pula pengunjung akan dihiburkan Rahmad Mega, Hael Husaini, Shiha Zikir, Ruffedge, Baby Shima dan Ara Johari," katanya.

Mereka yang aktif bersukan pula berpeluang merebut hadiah utama wang tunai sehingga RM1,800 beserta trofi dan medal menerusi Kejohanan Bola Jalanan Vocket '3v3'!

Juara juga bakal membawa jersi edisi khas VOCKET! Penyertaan boleh dibuat menerusi laman web bolajalanan.thevocket.com.

"Mereka yang berbakat dan tidak tahu di mana hendak mengekspresikan bakat pula boleh menyertai Jom Lokal yang membolehkan mereka menyerlahkan bakat seni tarian, alat muzik dan nyanyian menerusi program Jom Lokal Jam yang akan berlangsung esok bermula jam 9 malam di pentas utama KJH," katanya.

Dalam pada berhibur, KJH turut sensitif dan mengambil berat susulan krisis kemanusiaan yang berlaku di Palestin.

Sumbangan boleh diberikan menerusi akaun Bank Muamalat 14010008844715 atau Maybank 564276510331. Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima akan digunakan untuk membiayai bantuan kemanusiaan bagi komuniti yang terjejas.

"Kami berdiri bersama rakyat Palestin dalam perjuangan mereka dan akan terus menyokong usaha-usaha kemanusiaan dan keadilan. Melalui pelbagai program dan inisiatif kami, TV3 dan Tonton bertekad untuk menyebarkan mesej keamanan dan solidariti, sambil menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta dalam usaha murni ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:30 AM