TOSUN meraikan jaringan kedua Turkiye. FOTO  AFP
TOSUN meraikan jaringan kedua Turkiye. FOTO AFP
Reuters

Hamburg, Jerman: Turkiye menewaskan Republik Czech 2-1 awal pagi tadi dengan gol daripada Hakan Calhanoglu dan Cenk Tosun membolehkan mereka mara untuk menentang Austria di peringkat 16 terakhir Euro 2024.

Czech yang beraksi di suku akhir Kejohanan Eropah terakhir memerlukan kemenangan untuk menghidupkan peluang tetapi kad kuning kedua ke atas pemain tengah Antonin Barak menyukarkan misi mereka dan seterusnya tersingkir daripada kejohanan.

Dalam aksi sengit dan tegang menuju penamat, pemain Czech Tomas Chory turut dilayangkan kad merah beberapa saat sebelum wisel penamat.

Selain dua kad merah, pengadil juga menghadiahkan 16 kad kuning sekali gus mencipta rekod baharu dalam sejarah kejohanan.

Perancang Turki berusia 30 tahun, Calhanoglu meletakkan pasukannya di depan pada minit ke-50 dengan rembatan rendah melepasi jangkauan penjaga gol Jindrich Stanek. Gol itu yang pertama buat Calhanoglu dalam tiga penampilan di Euro.

Bagaimanapun, Tomas Soucek menyamakan kedudukan minit ke-66 selepas berlaku kelam kabut di hadapan kotak penalti sebelum Tosun menjadi pemusnah Czech dengan jaringan pada masa tambahan.

Keputusan itu menebus kekecewaan Turkiye pada Euro 2020 menyaksikan mereka pulang awal apabila pulang awal dengan tiga kekalahan dan melepaskan lapan gol.

"Kami berjuang bersama sehingga saat akhir," kata pertahanan Mert Muldur. "Kami sukar menentang pasukan itu sebelum ini dan saya fikir kami semakin baik. "

Selepas dua kemenangan dalam tiga perlawanan, Turkiye menduduki tangga kedua di belakang Portugal dalam Kumpulan F berdasarkan perbezaan gol dan akan menentang Austria di peringkat 16 terakhir pada 2 Julai di Leipzig.

"Ketika kami bercakap dengan rakan sebelum kem latihan, sasaran kami hanya untuk melepasi peringkat kumpulan. Kami tunaikan janji dan kini akan melaluinya langkah demi langkah," kata pemain sayap Turkiye Baris Alper Yilmaz. "Kami sangat gembira."

Czech pula tercorot selepas menamatkan saingan hanya dengan satu mata.

Portugal pula yang sudah pun mara lebih awal menduduki tangga teratas walaupun tewas mengejut di tangan Georgia yang turut layak selaku antara pasukan tempat ketiga terbaik.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 27 Jun 2024 @ 6:41 AM