AFP

Washington: Donald Trump menjadi bekas presiden Amerika Syarikat (AS) pertama yang disabitkan dengan jenayah membabitkan 34 pertuduhan jenayah memalsukan rekod perniagaan.

Hakim Juan Merchan akan menetapkan hukuman terhadap semua kesalahan itu pada pertengahan Julai dan sehingga tarikh itu, Trump kekal bebas tanpa jaminan atau sekatan pergerakan.

Beberapa perkara seterusnya yang menjadi perhatian dalam kes Trump, membabitkan hukuman, rayuan dan kempen.

Hukuman

Bagi soal hukuman, Trump akan dijatuhkan hukuman pada 11 Julai depan, hanya beberapa hari sebelum Konvensyen Kebangsaan Republikan, di mana beliau dijangka dinamakan calon presiden AS mewakili parti itu.

Merchan meminta peguam bela Trump memfailkan sebarang usul prahukuman selewat-lewatnya pada 13 Jun dan supaya pendakwa raya dapat menjawabnya, selewat-lewatnya pada 27 Jun.

Hakim juga mengarahkan laporan akhlak dikemukakan kepadanya sebelum menjatuhkan hukuman. Ini mungkin berpotensi membabitkan Trump ditemu bual oleh pegawai akhlak.

Trump berdepan hukuman penjara sehingga empat tahun bagi setiap 34 pertuduhan jenayah, tetapi sebagai pesalah kali pertama, beliau tidak mungkin berdepan dengan hukuman penjara.

Denda, percubaan, kurungan di rumah atau khidmat masyarakat adalah pilihan yang jauh lebih berkemungkinan, menurut pakar undang-undang.

Merchan, yang akan memutuskan hukuman terhadap Trump, semasa perbicaraan mengancam mahu memenjarakan bekas presiden itu kerana melanggar perintah larang suara (gag order). Tetapi, beliau memilih untuk mendenda Trump.

Rayuan

Seterusnya, pasukan peguam Trump mempunyai masa 30 hari untuk merayu keputusan itu sebaik sahaja mahkamah menjatuhkan hukuman.

Rayuan bagaimanapun tidak mungkin didengar sebelum pilihan raya presiden November, apabila Trump dijangka menentang calon Demokrat, Joe Biden. Ini adalah pertembungan kali kedua mereka selepas pilihan raya presiden pada 2020.

Peguam Trump meminta hakim pada satu ketika semasa perbicaraan selama lima minggu untuk mengisytiharkan salah laku, membantah beberapa keterangan grafik oleh bintang filem lucah, Stormy Daniels, yang mendakwa pernah melakukan hubungan seksual dengan Trump - ketika lelaki itu sudah berkahwin - pada 2006.

Trump dituduh memalsukan rekod perniagaan untuk membayar balik peguamnya ketika itu, Michael Cohen, untuk bayaran AS$130,000 (kira-kira RM611,000) yang dibuat kepada Daniels untuk 'menutup mulut' Daniels, sejurus sebelum pilihan raya presiden 2016.

Kempen

Sementara itu, membabitkan kempen, walaupun disabitkan kesalahan, Trump masih boleh bertanding untuk jawatan presiden dan boleh dipilih sekali lagi untuk jawatan pemimpin nombor satu AS itu.

Jika dilantik sebagai presiden, beliau tidak akan dapat memberikan pengampunan kepada dirinya sendiri. Ia memandangkan kes itu dibawa bukan oleh Kerajaan Persekutuan, tetapi oleh negeri New York, yang mana hanya gabenor boleh 'membersihkan' namanya.

Trump juga menghadapi tuduhan persekutuan dan negeri kerana bersubahat untuk membatalkan keputusan pilihan raya 2020 yang dimenangi oleh Biden dan kerana menyorok dokumen rahsia selepas meninggalkan Rumah Putih.

Kes-kes itu tidak mungkin dibicarakan sebelum pilihan raya pada November.

Dalam reaksi balas selepas juri mensabitkannya 'bersalah', Trump membantah keputusan itu dan berkata, penghakiman sebenar adalah pada 5 November apabila rakyat AS memilih presiden baharu mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 1 Jun 2024 @ 1:23 PM