ABBY Hensel berkahwin dengan pasangannya Josh Bowling dalam satu majlis di Minnesota, Barat Tengah. FOTO Facebook
ABBY Hensel berkahwin dengan pasangannya Josh Bowling dalam satu majlis di Minnesota, Barat Tengah. FOTO Facebook
Agensi

Washington: Salah seorang daripada pasangan kembar siam berkahwin dengan pasangannya dalam satu majlis di Amerika Syarikat, baru-baru ini, lapor portal Metro UK.

Abby Hensel berkahwin dengan pasangannya Josh Bowling dalam satu majlis di Minnesota, Barat Tengah.

Abby dan kembarnya, Brittany, 34, terkenal selepas menjadi antara kembar siam pertama yang hidup selepas dilahirkan.

Pasangan itu berkongsi satu badan, dari pinggang ke bawah, termasuk berkongsi semua organ seperti usus, pundi kencing dan organ pembiakan.

Josh yang juga bapa kepada seorang anak itu merahsiakan hubungan dengan Abby sejak beberapa tahun kebelakangan ini, selepas kembar itu menamatkan program mereka di saluran TLC iaitu Abby & Brittany,

Namun, satu dokumen mendedahkan bahawa Abby dan veteran tentera, Josh, berkahwin pada 2021, dan klip yang dikongsi di TikTok, memaparkan majlis perkahwinan mereka.

Pasangan kembar itu dilihat dalam gaun pengantin, manakala Josh memakai sut kelabu dan memegang tangan mereka.

Kembar siam itu adalah guru gred lima dan tinggal di Minnesota.

Berita perkahwinan itu bagaimanapun menimbulkan persoalan mengenai peranan Brittany.

Adik-beradik itu sebelum ini mendedahkan mereka sentiasa mengimpikan perkahwinan dan membina keluarga sendiri.

Pada 2012, Brittany berkata, seluruh dunia tidak perlu tahu siapa yang kita lihat, apa yang kita lakukan dan bila kita akan melakukannya.

Bapa mereka, Mike sebelum ini bercakap mengenai perkahwinan dan masa depan anak perempuannya.

"Mereka gadis yang menarik. Mereka cerdik. Mereka mempunyai segala-galanya, kecuali mereka bersama," katanya.

Pasangan itu adalah kembar siam dicephalus, sejenis kembar separa yang jarang berlaku dengan dua kepala sebelah menyebelah pada satu badan.

Kembar siam yang dilahirkan dengan keadaan ini selalunya mati ketika dilahirkan atau tidak dapat bertahan selepas bayi.

Bagaimanapun, Abby dan Brittany masih hidup, dan hanya satu daripada dua kembar siam dewasa yang diketahui hidup.

Pasangan kembar yang lain ialah Ayşe dan Sema Tanrıkulu, dari Turkiye.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 30 Mac 2024 @ 11:30 AM