PROTES menunjukkan solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza terus berlangsung di serata dunia. FOTO Reuters.
PROTES menunjukkan solidariti terhadap penduduk Palestin di Gaza terus berlangsung di serata dunia. FOTO Reuters.
Agensi

Washington: Tinjauan terbaharu Pusat Kajian Politik Amerika (CAPS) Harvard dan Harris Insights and Analytics (Harvard-Harris) mendedahkan, majoriti belia Amerika Syarikat (AS) mahu tindakan pencerobohan Israel dihentikan dan hak Palestin dikembalikan.

Hasil tinjauan itu menunjukkan 51 peratus rakyat AS berusia antara 18 hingga 24 tahun percaya penyelesaian kepada isu Palestin ialah pendudukan Israel ditamatkan dan tanah itu diberikan kepada rakyat Palestin dan Hamas.

Hanya 32 peratus percaya kepada penyelesaian dua negara, manakala 17 peratus berkata negara Arab lain harus 'mengambil penduduk Palestin'.

Sebanyak 60 peratus responden yang mengambil bahagian berpendirian, operasi Hamas pada 7 Oktober boleh dijustifikasikan sebagai 'rungutan' rakyat Palestin, diwakili 27 peratus rakyat AS secara keseluruhan.

Portal Almayadeen turut melaporkan, pada masa sama 58 peratus golongan itu bersetuju yang Hamas ingin melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap golongan penceroboh di Israel.

Apabila ditanya sama ada Israel melakukan pembunuhan besar-besaran di Gaza atau hanya mempertahankan dirinya dan menyasarkan Hamas, 60 peratus belia AS berpandangan, "Israel sebenarnya melakukan genosid atau pembunuhan besar-besaran suatu bangsa."

Selain itu, 53 peratus orang muda AS menegaskan, pelajar harus mempunyai kebebasan untuk menyokong pembunuhan beramai-ramai Yahudi tanpa menghadapi kesannya.

Sebanyak 67 peratus daripada golongan itu berkata, mereka percaya penceroboh harus dianggap sebagai penindas, satu pendirian yang 73 peratus rakyat AS tidak bersetuju dan dipanggil ideologi palsu.

Namun begitu, keputusan itu sejajar dengan penyelidikan terdahulu yang menunjukkan golongan muda AS cenderung memegang lebih banyak sentimen pro-Hamas berbanding kumpulan demografi lain.

Tinjauan pendapat Harvard-Harris menyusul selepas Pusat Penyelidikan Pew baru-baru ini menyatakan hanya satu pertiga daripada rakyat AS bersetuju dengan reaksi pentadbiran Biden terhadap perang ke atas Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Disember 2023 @ 12:13 PM