BENJAMIN Netanyahu. FOTO Reuters
BENJAMIN Netanyahu. FOTO Reuters
Agensi

Tel Aviv: Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu beliau menyatakan tidak gentar walaupun diheret ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), di The Hague, Belanda atas tuduhan genosid (pembunuhan beramai-ramai) terhadap rakyat Palestin.

Arab News melaporkan, Netanyahu bahkan dengan angkuhnya mengatakan tiada siapa yang dapat menghalang Israel mencapai kemenangan terhadap Hamas di Semenanjung Gaza.

"Tiada siapa yang akan menghalang kami, bukan The Hague (ICJ), 'Axis of Evil' atau orang lain.

"Ia mungkin dan perlu diteruskan sehingga (mencapai) kemenangan dan kami akan melakukannya," kata Netanyahu dalam sidang media berhubung perang di Gaza yang memasuki hari ke-100 pada Ahad.

Beliau merujuk kepada kes yang dibawa di ICJ yang menuduh Israel melanggar Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948 .

Beliau mendakwa, serangan tentera di Gaza sudah 'menghapuskan sebahagian besar batalion Hamas' di wilayah Palestin yang terkepung.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang dipindahkan dari utara Gaza tidak akan dapat pulang ke rumah mereka dalam masa terdekat.

Terdahulu, Afrika Selatan memfailkan kes di ICJ pada Disember lalu, dengan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Afrika Selatan membentangkan senarai dakwaan berhubung tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel pada hari pertama perbicaraan kes itu, Khamis lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 January 2024 @ 12:08 PM