PENDUDUK Palestin mendirikan khemah berhampiran sempadan Gaza dan Mesir. FOTO AFP
PENDUDUK Palestin mendirikan khemah berhampiran sempadan Gaza dan Mesir. FOTO AFP
Agensi

Baitulmaqdis: Menteri Kabinet Perang Israel, Benny Gantz pada Ahad memberi ancaman bahawa tenteranya akan menyerang bandar Rafah semasa bulan Ramadan, jika tebusan yang ditahan oleh Hamas, tidak dibebaskan, lapor Agensi Anadolu.

"Saya katakan ini dengan jelas: Hamas mempunyai pilihan. Mereka boleh menyerah diri, membebaskan tebusan, dan dengan cara ini, rakyat Gaza boleh menyambut Ramadan," kata Gantz pada persidangan di Baitulmaqdis.

Tentera Israel merancang untuk melancarkan serangan darat di Rafah, menempatkan lebih 1.4 juta penduduk yang mencari perlindungan daripada perang, untuk mengalahkan apa yang disebut oleh Tel Aviv sebagai "batalion Hamas" yang tinggal.

Penduduk Palestin mencari perlindungan di Rafah ketika Israel menggempur seluruh enklaf itu sejak 7 Oktober. Pengeboman Israel sudah membunuh hampir 29,000 mangsa dan menyebabkan kemusnahan besar-besaran dan kekurangan barang keperluan.

Gantz yang bekas menteri pertahanan berkata, bahawa pencerobohan Rafah akan berlaku dalam penyelarasan dengan "rakan kongsi Amerika Syarikat dan Mesir kami untuk meminimumkan korban awam," menurut akhbar The Times of Israel.

"Dunia mesti tahu, dan pemimpin Hamas mesti tahu - jika menjelang Ramadan, tebusan kita tiada di rumah, pertempuran akan diperluaskan ke kawasan Rafah," tambahnya.

Ramadan, bulan paling suci dalam kalendar Islam, dijangka bermula pada 10 Mac.

Hamas dipercayai menahan lebih 130 tebusan Israel berikutan serangan rentas sempadannya, yang menurut Tel Aviv membunuh hampir 1,200 orang.

Perang Israel ke atas Gaza menyebabkan 85 peratus daripada penduduk di wilayah itu melarikan diri dari tempat tinggal mereka dan berdepan kekurangan makanan, air bersih dan ubat-ubatan yang teruk, manakala 60 peratus daripada infrastruktur wilayah itu rosak atau musnah, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Israel dituduh melakukan pembunuhan beramai-ramai di Mahkamah Keadilan Antarabangsa. Keputusan sementara pada Januari mengarahkan Tel Aviv menghentikan tindakan pembunuhan beramai-ramai dan mengambil langkah-langkah untuk menjamin bantuan kemanusiaan diberikan kepada orang awam di Gaza.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Februari 2024 @ 11:06 AM