PASUKAN forensik dan pertahanan awam mengangkat mayat penduduk Palestin yang ditemui di hospital Al-Shifa. FOTO AFP.
PASUKAN forensik dan pertahanan awam mengangkat mayat penduduk Palestin yang ditemui di hospital Al-Shifa. FOTO AFP.
Agensi

Baitulmaqdis: Kubur besar mengandungi mayat rakyat Palestin yang syahid ditemui di halaman Kompleks Perubatan Al-Shifa, semalam mengesahkan tahap fasisme tanpa batas rejim Zionis yang jadi amalan berterusan.

Pejuang Hamas dalam kenyataan menyifatkan, penemuan selepas tentera rejim itu berundur menunjukkan satu lagi siri kekejaman Israel dalam menormalisasikan amalan genosid mereka.

Katanya, Israel mengeksploitasi kebisuan antarabangsa mengenai pencabulan undang-undang dan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Semenanjung Gaza.

"Siri kekejaman yang berterusan ini boleh ditemui di Kompleks Perubatan Al-Shifa dan sekitarnya, termasuk kubur besar, kesan hukuman mati dan ratusan mayat yang masih di bawah runtuhan, bersama kemusnahan besar-besaran terhadap kompleks dan jabatan perubatannya.

"Ini seperti yang didokumenkan, gambaran jenayah perang, yang dalam perhatian masyarakat antarabangsa dan institusi politik, kemanusiaan termasuk Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa," katanya.

Hamas menuntut institusi antarabangsa untuk memainkan peranan mereka dengan mendesak pemimpin rejim supaya segera bertanggungjawab.

Dalam pada itu, tentera Israel melakukan tujuh serangan dalam tempoh 24 jam lalu terhadap penduduk di Gaza sehingga mengorbankan 68 rakyat Palestin dan mencederakan 94 yang lain.

Kementerian Kesihatan Palestin memaklumkan mangsa dibiar di bawah runtuhan kerana tentera Israel sengaja menghalang ambulans dan kru pertahanan awam untuk tiba di lokasi.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 16 April 2024 @ 12:49 PM