PENUNJUK perasaan pro-Palestin berhimpun berhampiran bangunan ICJ di The Hague, Belanda. FOTO Reuters
PENUNJUK perasaan pro-Palestin berhimpun berhampiran bangunan ICJ di The Hague, Belanda. FOTO Reuters
Agensi

Ramallah: Penduduk Palestin di Tebing Barat menyifatkan prosiding kes genosid terhadap Israel di Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) di The Hague, Belanda, adalah peluang untuk menuntut rejim zionis bertanggungjawab atas serangan tenteranya di Gaza.

Menurut laporan Reuters, bagi kebanyakan rakyat Palestin, tuduhan itu membawa perhatian dunia kepada penindasan Israel terhadap hak asasi mereka.

"Israel terbentuk atas jenayah yang dilakukannya terhadap rakyat Palestin," kata Perdana Menteri Palestin Mohammad Shtayyeh ketika perhimpunan di Dataran Nelson Mandela di sini, pada Jumaat lalu.

Pada perhimpunan itu, bendera Afrika Selatan dikibarkan sebagai tanda terima kasih kepada negara itu yang 'mengheret' Israel ke ICJ.

Peserta perhimpunan itu juga melaungkan "Terima kasih Afrika Selatan!".

Media sebelum ini melaporkan, Afrika Selatan memfailkan kes di ICJ pada Disember lalu, dengan menuduh Israel melakukan pembunuhan beramai-ramai terhadap rakyat Palestin di Gaza.

Afrika Selatan membentangkan senarai dakwaan berhubung tindakan pembunuhan beramai-ramai oleh Israel pada hari pertama perbicaraan kes itu, Khamis lalu.

Antaranya, Afrika Selatan memberitahu mahkamah bahawa serangan Israel bertujuan untuk membawa "kemusnahan penduduk" Gaza. Ia berkata, pemimpin politik dan tentera Israel, termasuk Perdana Menteri Benjamin Netanyahu, adalah antara "penghasut pembunuhan beramai-ramai".

Israel pula ketika pembelaan pada Jumaat berkata, kes Afrika Selatan cuba "mempersenjatai" istilah pembunuhan beramai-ramai - perkataan yang didakwanya dicipta oleh seorang Yahudi Poland yang menyaksikan peristiwa Holocaust terhadap orang Yahudi di Eropah pada Perang Dunia Kedua - sekali gus menolak kewujudan negara Israel dan mengabaikan peranan Hamas dalam konflik terbaharu ini.

Kes didengar di ICJ selepas dua tahun keganasan yang semakin meningkat di Tebing Barat, di mana serbuan berterusan oleh tentera Israel membunuh ratusan rakyat Palestin.

Pada masa yang sama, jumlah penempatan haram Yahudi di Tebing Barat terus meningkat. Selain itu, kumpulan peneroka haram Yahudi bersenjata ke atas Palestin meningkat dengan mendadak, mengundang kecaman antarabangsa termasuk daripada sekutu Israel.

Dalam pada itu, Atieh Jawabra, 68, yang juga bekas profesor sains politik di Universiti Al-Quds Abu Dis berkata, beliau sudah lama menunggu untuk Israel untuk dikemukakan di mahkamah antarabangsa atas dakwaan jenayah.

Beliau berkata, jenayah itu sejak peristiwa Nakba pada 1948 iaitu pengusiran besar-besaran rakyat Palestin ketika perang susulan penubuhan negara haram Israel.

"(Sejarah menyaksikan) Israel, Amerika Syarikat dan Barat meletakkan (kedudukan) Israel mengatasi undang-undang," katanya seperti dilaporkan Reuters.

Menurut AFP, keputusan kes yang didengar di ICJ adalah muktamad dan tidak boleh dirayu.

Bagaimanapun, negara tidak selalu mengikut keputusan mahkamah, sebagai contoh apabila ICJ mengarahkan Rusia menghentikan pencerobohannya ke atas Ukraine.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 13 January 2024 @ 2:40 PM