NETANYAHU, gambar fail. FOTO Abir Sultan Pool via Reuters
NETANYAHU, gambar fail. FOTO Abir Sultan Pool via Reuters
AFP

The Hague: Mahkamah tertinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada Jumaat mengarahkan Israel supaya menghentikan pembunuhan beramai-ramai (genosid) dalam perangnya dengan pejuang Hamas dan membenarkan bantuan masuk ke Gaza.

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) juga meminta Israel untuk memudahkan bantuan kemanusiaan yang diperlukan segera ke wilayah Palestin yang kini dibedil tanpa henti sejak serangan 7 Oktober ke atas Israel oleh pejuang Hamas.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu menolak prosiding kes itu dan menyifatkannya sebagai keterlaluan, manakala pemerintah Hamas Gaza memuji keputusan ICJ, mengatakan ia "menyumbang pengasingan Israel dan mendedahkan jenayahnya di Gaza."

Tidak lama selepas itu, pejuang Hamas mengeluarkan video yang menunjukkan tiga wanita Israel menjadi tebusan di Gaza, dua daripadanya mengatakan mereka adalah tentera rejim zionis.

Turut menyusuli keputusan itu, agensi PBB untuk pelarian Palestin, UNRWA, berkata, pihaknya memecat beberapa pekerja yang dituduh Israel terbabt dalam serangan 7 Oktober itu.

Mahkamah PBB yang berpangkalan di The Hague - sambil mengelak daripada mengarahkan perang Gaza dihentikan serta-merta - berkata, Israel mesti melakukan segala-galanya untuk "menghalang pelakuan semua tindakan dalam skop" Konvensyen Genosid.

Afrika Selatan, yang menyokong perjuangan Palestin, membawa kes itu terhadap Israel, mendakwa rejim zionis itu melanggar Konvensyen Genosid PBB 1948, yang ditubuhkan selepas Perang Dunia II dan Holocaust.

Presiden Cyril Ramaphosa dan pegawai kanan bersorak selepas prosiding itu diumumkan walaupun mahkamah tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan terhadap perintah keputusan prosidingnya.

"Kami menjangkakan Israel sebagai sebuah negara demokrasi dan menghormati kedaulatan undang-undang untuk mematuhi langkah-langkah yang putuskan," kata Ramaphosa, yang berharap keputusan itu akan membawa kepada desakan diplomatik baharu untuk menamatkan perang.

Bercakap selepas keputusan itu, Netanyahu berkata, tuduhan itu "bukan sahaja palsu, ia keterlaluan, dan orang yang baik di mana-mana harus menolaknya."

Israel "tidak perlu disyarah tentang moral," kata Menteri Pertahanan Israel Yoav Gallant, dan sekutu Israel Amerika Syarikat mengulangi bahawa tuduhan pembunuhan beramai-ramai adalah "tidak berasas."

Bagi Pihak Berkuasa Palestin, keputusan itu menunjukkan bahawa "tiada negara di atas undang-undang", dan Kesatuan Eropah berkata, ia mahu pelaksanaan segera keputusan mahkamah.

Rakyat Palestin mengalu-alukan kes Afrika Selatan, tetapi keputusan mahkamah menyebabkan mereka terperangkap antara bangga dan kecewa.

"Kami merasakan bahawa mahkamah boleh dengan jelas menggesa gencatan senjata di samping memudahkan kemasukan bantuan kemanusiaan ke Gaza," kata Mais Shabana selepas menonton keputusan itu di Tebing Barat yang diduduki Israel.

Di Baitulmaqdis, pembeli-belah di Pasar Mahaneh Yehudah meremehkan keputusan ICJ itu.

Aryeh Schaffer, seorang pelajar Israel, menyifatkan tuduhan pembunuhan beramai-ramai itu "sangat tidak masuk akal" kerana Israel "hanya mempertahankan tanah air mereka."

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 27 January 2024 @ 1:03 PM