ELON Musk (kiri) dan Linda Yaccarino. FOTO AFP
ELON Musk (kiri) dan Linda Yaccarino. FOTO AFP
AFP

San Francisco: Elon Musk memilih eksekutif pengiklanan terkemuka, Linda Yaccarino sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter yang baharu.

Yaccarino, eksekutif pengiklanan yang meletak jawatannya di NBCUniversal secara serta-merta pada Jumaat lalu, ketika khabar angin mengenai pemilihannya sebagai CEO baharu Twitter.

Musk pada Khamis membayangkan akan melantik wanita untuk menggantikannya di syarikat induk Twitter baharu yang dinamakan X Corporation.

Peletakan jawatan Yaccarino daripada syarikat yang memiliki NBC, Universal dan Telemundo - di mana dia bertugas sejak 2011 - berlaku beberapa minggu selepas dia menemu bual Musk pada persidangan pemasaran di Miami.

Pada masa itu, ketika ditanya Yaccarino apa yang berlaku sejak pengambilalihan Twitter, Musk berkata: "Ia berlaku dengan baik... ia menghiburkan... namun ada kalanya huru-hara".

Yaccarino akan berdepan dengan kesukaran untuk meraih kembali pengiklan utama yang kini takut untuk dikaitkan dengan ahli teori konspirasi dan pencipta kandungan berhaluan kanan yang Musk galakkan untuk kembali ke Twitter.

Dalam ciapan di Twitter, Musk berkata, dia akan kekal untuk mengawal reka bentuk dan teknologi di Twitter, manakala Yaccarino akan memfokuskan kepada operasi perniagaan dan mengubah Twitter menjadi aplikasi untuk semua perkara digelar sebagai X.

Sejarah Musk dengan huruf X dapat dikesan sehingga 1999 apabila dia membantu mencipta X.com, bank dalam talian yang kemudiannya berkembang menjadi PayPal.

Dia juga berhasrat untuk mencipta aplikasi seperti WeChat di China, yang berfungsi seperti Twitter, namun pada masa sama menawarkan khidmat pesanan mesej dan pembayaran dalam talian.

Menurut laman web NBCUniversal, Yaccarino mengetuai pasukan dengan 2,000 orang dan "mengemudi perniagaan pengiklanan untuk abad ke-21."

Tugasnya termasuk mengekalkan hubungan baik dengan syarikat utama dunia untuk menarik pihak berkenaan mengiklankan produk dan perkhidmatan di saluran milik NBCUniversal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 14 Mei 2023 @ 10:59 AM