AKAUN Twitter Elon Musk. FOTO AFP
AKAUN Twitter Elon Musk. FOTO AFP
AFP

San Francisco: Twitter pada Ahad mengumumkan tidak lagi membenarkan penggunanya mempromosikan akaun mereka di beberapa platform laman sosial pesaing termasuk Facebook (FB) dan Instagram (IG).

"Kami akan mengalih keluar sebarang promosi percuma platform laman sosial pihak ketiga yang dilarang, seperti memaut keluar (iaitu menggunakan URL) ke mana-mana platform di bawah di Twitter, atau menyediakan pemegang anda tanpa URL.

"Oleh itu, pengguna akan dihalang, sebagai contoh, daripada menyiarkan 'Ikuti saya @nama pengguna di IG'," kata Twitter dalam satu kenyataan.

Peralihan mendadak dalam peraturan adalah yang terbaharu dalam siri perubahan kontroversi yang dibuat oleh pemiliknya, Elon Musk, sejak beliau mengambil alih syarikat itu pada Oktober

Ia menyebabkan semakin ramai pengguna menggalakkan pengikut melihat perkongsian mereka di platform lain.

Bilionair itu turut mempertaruhkan masa depannya sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Twitter menerusi undian.

"Perlukah saya berundur sebagai ketua (CEO) Twitter?" ciapnya meminta pengguna tapak untuk mengklik 'ya' atau 'tidak'.

"Saya akan mematuhi keputusan tinjauan ini," tambahnya, dengan undian dibuka sehingga awal pagi Isnin.

Sementara itu, pengasas bersama Twitter Jack Dorsey mempersoalkan dasar baharu itu dengan ciapan satu perkataan: "Kenapa?"

Selepas beberapa akaun terkenal digantung di bawah dasar baharu, termasuk pelabur teknologi Paul Graham, Musk dalam ciapannya menyatakan dasar itu akan dihadkan kepada "menggantung akaun hanya apabila tujuan utamanya adalah mempromosikan pesaing.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 19 Disember 2022 @ 10:29 AM