Antara papan tanda di ibu pejabat Twitter di San Francisco. - FOTO AP
Antara papan tanda di ibu pejabat Twitter di San Francisco. - FOTO AP
AFP

San Francisco: Sebuah patung burung di ibu pejabat Twitter berjaya dilelong pada harga AS$100,000 (RM430,598) selepas pemilik Twitter, Elon Musk melelong perabot, hiasan, peralatan dapur dan banyak lagi dari ibu pejabat firma teknologi itu.

Syarikat perkhidmatan lelongan Heritage Global Partners mengesahkan lelongan "lebihan aset pejabat korporat Twitter" yang berlangsung dalam talian selama 24 jam itu turut menampilkan lampu neon logo burung setinggi 10 kaki yang dijual pada harga AS$40,000 (RM172,187).

Antara 631 lot lelongan termasuk mesin espreso, meja ergonomik, televisyen, stesen pengecasan basikal elektrik, ketuhar oven dan pasu hiasan berbentuk "@".

Disember lalu Musk berkata, pemotongan kos besar-besaran di Twitter telah membaiki keadaan kewangan syarikat yang teruk ketika beliau berusaha mencari ketua pegawai eksekutif (CEO) yang baharu untuk platform media sosialnya yang bermasalah.

Jutawan itu memberitahu pada forum yang disiarkan secara langsung, jika dibiarkan tanpa perubahan, termasuk memecat lebih separuh daripada pekerja Twitter, syarikat itu perlu membelanjakan AS$3 bilion (RM12.91 bilion) setahun.

Musk berkata, beliau "gila memotong kos" di platform yang dibelinya dengan harga AS$44 bilion (RM189.37 bilion).

Hanya beberapa minggu selepas pemilikan Twitter, Musk memecat kira-kira separuh daripada 7,500 tenaga kerjanya dan mencetuskan kebimbangan bahawa syarikat itu tidak mempunyai kakitangan yang mencukupi untuk menjalankan penyederhanaan kandungan dan menakutkan kerajaan serta pengiklan.

Musk berkata, strateginya adalah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran sambil membina hasil, dan perkhidmatan langganan AS$8 (RM34.43) baharu yang dipanggil Twitter Blue.

Twitter yang diterajui Musk mula dilanda huru-hara, dengan pemberhentian pekerja beramai-ramai, pengaktifan semula akaun yang telah diharamkan dan penggantungan wartawan yang mengkritik jutawan kelahiran Afrika Selatan itu.

Pengambilalihan oleh Musk juga menyaksikan lonjakan kenyataan berbaur perkauman atau kebencian, serta mendapat perhatian daripada pengawal selia hingga menyebabkan pengiklan besar yang menjadi sumber pendapatan utama Twitter menarik diri dari syarikat terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 January 2023 @ 6:21 PM