ELON Musk dengan logo Twitter. FOTO AFP
ELON Musk dengan logo Twitter. FOTO AFP
AFP

Washington: Elon Musk mengumumkan caj lebih mahal untuk perkhidmatan langganan baharu, Twitter Blue dalam usaha mengurangkan iklan kepada pengguna di Twitter.

Pengumuman itu dibuat ketika rangkaian sosial itu menghadapi ketidaktentuan ekonomi yang besar sejak diambil alih Musk, Oktober lalu.

"Iklan terlalu kerap dan besar di Twitter.

"Bagi mereka yang memilihnya, akan ada langganan dengan harga lebih tinggi yang membolehkan iklan sifar," kata Musk dalam akaun Twitter miliknya, semalam.

Perkhidmatan langganan baharu dikenali Twitter Blue, memberikan pengguna tanda pengesahan biru yang dicari dengan bayaran, akan membantu mencapai matlamat itu.

Perkhidmatan itu berharga AS$11 (RM47.14) sebulan di Amerika Syarikat dan boleh didapati pada sistem pengendalian mudah alih Apple iOS dan Android Google, menurut halaman di laman web syarikat itu.

Langganan web juga tersedia dengan harga AS$8 (RM34.28) sebulan atau, dengan diskaun AS$84 (RM359.98) setahun.

Twitter Blue kini tersedia di Amerika Syarikat, Kanada, Britain, New Zealand, Australia dan Jepun.

Langkah syarikat itu akan menjadi perubahan radikal dalam model perniagaan daripada Twitter, yang setakat ini bergantung pada pengiklanan yang disasarkan untuk menjana pendapatan sebelum melancarkan perkhidmatan langganan berbayar pada pertengahan Disember.

Namun, pengiklanan menjadi tanda tanya untuk Twitter sejak kebelakangan ini, selepas Musk memecat kira-kira separuh daripada 7,500 tenaga kerja syarikat itu penghujung tahun lalu.

Tindakan itu mencetuskan kebimbangan syarikat itu tidak mempunyai kakitangan mencukupi untuk melaksanakan penyederhanaan kandungan serta pengiklan melampau.

Musk berkata strateginya adalah untuk mengurangkan kos secara besar-besaran sambil membina keuntungan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 January 2023 @ 10:11 AM