Reuters

Washington: Apple Inc menjangkakan penghantaran iPhone 14 Pro dan iPhone Pro Max lebih rendah daripada yang dijangkakan sebelum ini kerana sekatan Covid-19 mengganggu sementara pengeluaran di kemudahan pemasangan di Zhengzhou, China.

"Kemudahan itu kini beroperasi pada kapasiti berkurangan dengan ketara," kata pembuat iPhone itu dalam satu kenyataan.

"Pelanggan akan mengalami masa menunggu yang lebih lama untuk menerima produk baharu mereka," tambahnya.

Reuters bulan lalu melaporkan, pengeluaran iPhone Apple boleh merosot sebanyak 30 peratus di salah satu kilang terbesar dunia bulan depan berikutan sekatan Covid-19 di China, yang semakin diketatkan.

Kilang Zhengzhou utamanya di tengah China, yang menggaji kira-kira 200,000 orang digegarkan oleh rasa tidak puas hati terhadap langkah ketat untuk membendung penularan Covid-19, dengan ramai pekerja meninggalkan kilang itu.

Secara berasingan, Foxconn Taiwan, pembuat iPhone terbesar Apple Inc berkata, ia sedang berusaha untuk menyambung semula pengeluaran penuh di kilang utama di Zhengzhou yang terjejas oleh sekatan Covid-19, dan menyemak semula prospek bagi suku keempatnya.

Kesan ke atas pengeluaran datang di tengah-tengah kepesatan untuk pembuat elektronik menjelang musim cuti akhir tahun, yang juga adalah masa utama untuk vendor barangan pengguna seperti Apple.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 7 November 2022 @ 1:11 PM