KEDAI Apple di Central Ferry Piers, Hong Kong. FOTO AFP
KEDAI Apple di Central Ferry Piers, Hong Kong. FOTO AFP
Agensi

San Francisco: Buat pertama kalinya, Apple merancang untuk menjual iPhone versi baharu yang diperbuat di kilang India pada hari pelancaran jualan globalnya, lapor Bloomberg.

Syarikat itu merancang mengeluarkan iPhone 15 diperbuat di India untuk pasaran negara Asia Selatan dan beberapa wilayah lain pada hari pelancaran itu, kata sumber.

Walaupun sebahagian besar iPhone 15s akan datang dari China, rancangan itu menyaksikan kali pertama peranti generasi baharu yang dipasang di India itu, tersedia pada hari pertama jualan.

Ia juga akan menekankan kehebatan pengeluaran India yang semakin meningkat dan mencerminkan perubahan ketara daripada strategi Apple sebelum ini dalam menjual kebanyakan peranti baharu buatan China kepada pelanggan di seluruh dunia.

iPhone 15 baharu dijangka mula dijual dalam beberapa hari atau minggu selepas pelancarannya yang dijadualkan 10 pagi (waktu California, Amerika Syarikat) pada Selasa depan.

Apple yang berpangkalan di California memulakan pengeluaran iPhone 15 di kilang pembekal Foxconn Technology Group di selatan negeri Tamil Nadu.

Langkah itu satu lagi usaha gergasi teknologi Amerika Syarikat itu untuk mengecilkan lagi jurang antara operasi India dan pangkalan pembuatan utamanya di China.

Pengguna perlu menjangkakan sedikit kelewatan pengeluaran peranti buatan India itu kerana kesesakan logistik yang tidak dijangka.

Bagaimanapun, pihak Apple masih belum mengulas perkembangan baharu itu.

Apple bersedia untuk memperkenalkan iPhone 15 yang dikemas kini dan AirPods pada acara gala di ibu pejabatnya di AS.

Jualan produk baharu biasanya bermula kira-kira 10 hari selepas pelancaran.

Sebelum iPhone 14, Apple memasang hanya sebahagian kecil daripada keluaran globalnya di India, yang ketinggalan hanya antara enam hingga sembilan bulan di belakang pengeluaran China.

Kelewatan itu dikurangkan secara drastik pada 2022, kepada hanya beberapa minggu.

Pembekal Apple lain di India Pegatron dan kilang Wistron yang sedang diambil alih Kumpulan Tata juga berkemungkinan tidak lama lagi akan memasang iPhone 15 di negara itu, lapor Bloomberg.

Apple membuka kedai India pertamanya pada 2023.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 September 2023 @ 11:57 AM