PEKERJA Foxconn berhadapan polis dan petugas memakai hazmat dalam protes di sekitar kilang di Zhengzhou, tengah China. FOTO AFP.
PEKERJA Foxconn berhadapan polis dan petugas memakai hazmat dalam protes di sekitar kilang di Zhengzhou, tengah China. FOTO AFP.
AFP

Beijing: China mengarahkan enam juta penduduk menjalani perintah berkurung di bandar yang tercetusnya protes melampau susulan dasar pengasingan Covid-19 dan syarat kerja di kilang iPhone.

Ratusan pekerja turun ke jalan sekitar kilang itu di Zhengzhou pada Rabu, menunjukkan kemarahan namun, berhadapan pihak berkuasa berpakaian hazmat dan memegang belantan.

Susulan pergolakan itu, pihak berkuasa Zhengzhou mengarahkan ujian Covid-19 besar-besaran dijalankan dan perintah berkurung di beberapa daerah di bandar tengah China itu bermula Jumaat.

Penduduk tidak dibenar meninggalkan kawasan, melainkan keputusan ujian Covid-19 mereka negatif dan memperoleh kebenaran pihak berkuasa.

Sekatan itu menjejaskan lebih enam juta penduduk, tetapi tidak termasuk kilang iPhone, yang mana pekerjanya sudah tertakluk peraturan Covid-19 sejak berminggu.

Seorang pekerja memberitahu AFP yang protes itu bermula dengan pertikaian mengenai bonus yang dijanjikan kilang yang dikendalikan gergasi teknologi Taiwan, Foxconn.

Ramai pekerja juga berang dengan situasi mendorong kehidupan 'huru-hara', kata pekerja itu yang enggan dikenali.

Semalam Foxconn mengeluarkan permohonan maaf, menyalahkan kesilapan teknikal dalam sistem pembayaran bagi isu gaji itu dan memaklumkan yang pihaknya "memahami sepenuhnya" kebimbangan pekerja.

Apple berkata, pihaknya mempunyai wakil di lapangan dan sedang "menyemak keadaan yang berlaku dan bekerjasama rapat dengan Foxconn untuk memastikan masalah pekerja ditangani."

Sekatan di Zhengzhou adalah sebahagian daripada pendekatan sifar-toleransi China

terhadap Covid-19, yang membabitkan peraturan melelahkan, sekatan perjalanan dan ujian besar-besaran.

Bagaimanapun, hampir tiga tahun selepas pandemik, kes Covid-19 kini lebih tinggi daripada yang pernah berlaku di China.

Terdapat 31,444 jangkitan domestik dilapor kelmarin dengan menurut Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan, yang tertinggi sejak wabak itu bermula.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 25 November 2022 @ 12:00 PM