TANGKAP layar dari video menunjukkan buaya muncul pada sesi latihan Toronto FC.
TANGKAP layar dari video menunjukkan buaya muncul pada sesi latihan Toronto FC.
Agensi

Orlando: Sesi latihan pemain bola sepak Toronto FC di sebuah resort di Orlando, Florida terhenti seketika apabila dihadiri 'tetamu' tidak diundang iaitu seekor buaya.

Memetik Gulf News, dalam rakaman video yang dimuat naik di Twitter, beberapa pemain Toronto dilihat berlari ke arah buaya untuk melihat haiwan itu lebih dekat.

Keadaan dapat dikawal apabila haiwan itu kemudiannya dihalau seorang kakitangan Champions Gate Resort.

"Apa yang saya dapat katakan ia buaya besar.

"Pemain saya berlari ke arah buaya itu, sedangkan saya (berlari) ke arah lain," kata jurulatih, Chris Armas kepada The Canadian Press, Isnin lalu.

Insiden itu berlaku selepas Toronto FC berpindah ke Florida untuk musim biasa Liga Utama Bola Sepak (MLS) kerana sekatan pergerakan bagi mengekang penularan Covid-19.

Minggu lalu, pemain golf Amerika, Wyndham Clark sanggup mengambil risiko kemungkinan bertembung dengan buaya ketika dalam kejohanan golf Zurich Classic di New Orleans.

Beliau yang bergandingan bersama Erik van Rooyen dari Afrika Selatan dalam acara berpasukan dua pemain, menanggalkan kasut dan menyingsing kaki seluarnya ketika perlawanan berlangsung di sebuah tasik.

Pakar pengulas TV ketika itu mengesahkan dua buaya dilihat berkeliaran di kawasan itu ketika pusingan ketiga permainan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 3 Mei 2021 @ 6:31 AM