Kapten Brazil, Marta (tengah) meraikan jaringan ketika menewaskan Argentina pada aksi Piala SheBelieves. FOTO AFP
Kapten Brazil, Marta (tengah) meraikan jaringan ketika menewaskan Argentina pada aksi Piala SheBelieves. FOTO AFP
AFP

Orlando: Marta meledak gol antarabangsa ke-109 ketika Brazil menewaskan Argentina, 4-1 dalam aksi pembukaan Piala SheBelieves di Orlando.

Kapten Brazil berusia 34 tahun itu, menyempurnakan penalti pada minit ke-29 untuk melepasi jangkaan penjaga gol Argentina, Solana Pereyra bagi jaringan pembukaan di Stadium Exploria.

Persiapan Argentina terganggu beberapa jam sebelum perlawanan apabila empat daripada pemain mereka tidak dapat beraksi kerana positif Covid-19.

Brazil yang menduduki ranking kedua dunia, meledak tiga lagi gol menerusi Beatriz dan Adriana sebelum Argentina merapatkan jaringan menerusi tandukan Mariana Larroquette pada babak kedua.

Pemain gantian Geyse Ferreira memastikan kemenangan selesa skuad samba menerusi jaringan di penghujung babak perlawanan.

Brazil akan berdepan juara dunia, Amerika Syarikat pada aksi seterusnya bagi kejohanan itu pada Ahad.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 19 Februari 2021 @ 1:44 PM