Foto hiasan
Foto hiasan
Agensi

Orlando: Seorang wanita di Florida enggan ke hospital walaupun sarat hamil selagi dia tidak mengundi untuk pilihan raya.

The New Indian Express melaporkan, Pegawai Penyelia Pilihan Raya Daerah Orange Karen Briceño González memaklumkan wanita itu sepatutnya berada di wad bersalin ketika itu tetapi hadir ke pusat pengundi bersama suaminya.

Menurut Karen, suami wanita berkenaan meminta kertas undi untuk isterinya yang berada di dalam kereta sebaik ke tempat pengudian terbabit.

Lelaki itu memaklumkan isterinya enggan enggan ke hospital selagi tidak selesai mengundi.

Tanpa berlengah, Karen bergegas keluar untuk menyerahkan kertas undi kepada wanita itu dan memeriksa kad pengenalannya.

Menurut Karen, wanita itu kelihatan mengah tetapi sempat mengisi kertas undi.

Sementara itu, kerani pilihan raya Eileen Deliz memberitahu pasangan berkenaan tidak memberitahu alasan mengapa terburu-buru untuk mengundi.

"Tetapi apa yang pasti dia tidak akan ke hospital selagi belum membuang undi," kata Deliz.

Menurutnya, kejadian tidak diduga itu menceriakan petugas pilihan raya.

"Kami terlalu sibuk tetapi apabila ada perkara seperti ini berlaku, ia menceriakan hari kami.

"Ini antara kisah menarik sepanjang berlangsungnya pilihan raya," katanya.

Difahamkan, wanita berkenaan terus dibawa ke hospital selepas beredar dari pusat mengundi.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 31 Oktober 2020 @ 2:42 PM