NAHAS berkenaan dilaporkan di daerah El Alto, di utara Peru. FOTO Twitter
NAHAS berkenaan dilaporkan di daerah El Alto, di utara Peru. FOTO Twitter
AFP

Lima: Sekurang-kurangnya 24 maut selepas sebuah bas yang membawa 60 penumpang termasuk warga Haiti terjunam bawah tebing di barat laut Peru, kata polis.

Berdasarkan maklumat awal kemalangan di wilayah Piura itu, jumlah korban adalah seramai 25 orang namun, ia dibetulkan semula kepada 24 orang.

Menurut polis, bas milik syarikat Qorianka Tours dalam perjalanan dari Lima ke Tumbes, di sempadan dengan Ecuador sebelum keluar dari jalan berhampiran bandar Organos.

Polis memberitahu media tempatan bahawa kemalangan itu berlaku di lokasi dikenali sebagai Devil's Curve.

Beberapa penumpang tercampak keluar, manakala beberapa yang lain terperangkap di dalam bas.

Bagaimanapun katanya, punca kejadian masih dalam siasatan.

Jumlah penumpang yang cedera tidak diketahui dengan kesemua mereka sudah dibawa ke hospital di El Alto dan Mancora iaitu pusat peranginan popular kira-kira 1,000 kilometer di utara Lima.

Menurut polis, beberapa penumpang yang terbabit kejadian itu berasal dari Haiti.

Bilangan pendatang Haiti di Peru meningkat, namun jumlah mereka yang terbabit kemalangan itu tidak pasti.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 29 January 2023 @ 10:17 AM