ABD Rahman (tengah) di hadapan satu daripada kios Mie Ayam Bakso Bogor yang dikendalikan.
ABD Rahman (tengah) di hadapan satu daripada kios Mie Ayam Bakso Bogor yang dikendalikan.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: Rangkaian perniagaan Mie Ayam Bakso Bogor memperkenalkan menu baru iaitu Mie Ayam Bakso K-pop di semua empat cawangan di sekitar Lembah Klang.

Pengasasnya Datuk Abd Rahman Soltan berkata, menu itu didatangkan dengan mi berwarna merah jambu sebagai tarikan kepada pelanggan.

"Seperti semua tahu penggemar budaya K-pop ini pelbagai. Bukan saja pada bidang muzik dan fesyen, tapi juga makanan. Jadi, atas sebab itu saya memilih untuk memperkenalkan menu K-pop ini.

"Menu ini memang nampak moden sikit sebab mi itu berwarna merah jambu. Pendek kata, kita menggabungkan eleman tradisional dan moden dalam makanan.

"Namun, kita masih mengekalkan ciri khas makanan sedia ada iaitu bahan yang digunakan dibuat sendiri. Malah, proses penyelidikan dan pembangunan (R&D) dibuat dalam tempoh empat bulan. Apabila dah sempurna dari segi rasa, baharu ia dilancarkan," katanya kepada Bisnes Metro.

Berkongsi lanjut, perniagaan yang dijalankan sejak dua tahun lalu itu berkonsepkan kios.

"Kalau di Indonesia, makanan mi ayam dan bakso ini kebanyakannya dijual di pinggir jalan. Ia memang popular dengan konsep perniagaan sebegitu.

"Jadi, apabila saya membuka perniagaan ini saya mahu mengekalkan ciri asal seperti street food," katanya.

Menurutnya, dia menyasarkan 10 cawangan lagi dibuka sepanjang tahun ini.

Empat cawangan sedia ada berada di Citta Mall, Aeon Mall Shah Alam, Aeon Mall Setia City Mall dan Aeon One Utama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:22 AM