ALCARAZ mengucup trofi Wimbledon yang dimenanginya selepas menewaskan Djokovic. FOTO REUTERS
ALCARAZ mengucup trofi Wimbledon yang dimenanginya selepas menewaskan Djokovic. FOTO REUTERS
AFP

London: Carlos Alcaraz berkata, dia tidak tahu had kemampuannya selepas menewaskan Novak Djokovic, malam tadi, untuk mempertahankan gelaran Wimbledon, tetapi tetap percaya jaguh Serbia itu kekal sebagai 'Superman'.

Pilihan ketiga dari Sepanyol itu menewaskan juara tujuh kali kejohanan itu 6-2, 6-2, 7-6 (7/4), untuk meraih gelaran Grand Slam keempat dalam kariernya yang boleh dianggap masih baru.

Alcaraz, 21, yang menang tiga daripada lima kejohanan utama sebelum ini, berkata dia mahu menikmati 'perjalanan menakjubkan kariernya setakat ini' berbanding memikirkan terlalu jauh mengenai masa depannya.

"Saya mahu terus melangkah, terus meningkat dan berkembang, cuba untuk terus menang. Itu semua perkara penting buat saya pada masa ini," katanya.

"Saya tidak tahu sampai mana had kemampuan saya. Saya tidak mahu memikirkan mengenainya. Saya mahu terus menikmati saat ini dan terus bermimpi.

"Jadi, kita lihat nanti di akhir karier saya sama ada 25, 30, 15 atau empat gelaran Grand Slam. Saya tidak tahu. Saya mahu katakan saya mahu menikmati perjalanan ini dan melihat apa yang berlaku pada masa depan."

Di sebalik kejayaan gemilang pada usia muda, Alcaraz berkata, apa yang lebih penting adalah bagaimana dia menamatkan kariernya nanti.

"Saya mahu duduk semeja dengan pemain terhebat," katanya.

"Itu sasaran utama saya. Itu impian saya ketika ini."

Djokovic menyasarkan rekod gelaran Grand Slam ke-25, tetapi bergelut untuk mengatasi pemain yang muda 16 tahun berbandingnya di Centre Court dan Alcaraz berkata, dia mengambil kesempatan berikutan kesilapan pemain veteran itu.

Alcaraz menyifatkan Djokovic sebagai 'Superman' sebelum kejohanan dan berkata, tiada sebab untuk dia mengubah fikiran terutama selepas Djokovic baru saja menjalani pembedahan lutut pada bulan lalu.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 15 Julai 2024 @ 9:23 AM