AFP

Lima: Sekurang-kurangnya 11 maut termasuk dua kanak-kanak, manakala 34 lagi cedera dalam kemalangan bas yang terjunam ke dalam gaung di Peru, menurut pihak berkuasa pada Ahad.

Kejadian berlaku tengah hari Sabtu lalu apabila bas berkenaan terbabas dan berpusing sejauh 100 meter dan terjatuh ke dalam gaung di wilayah Ancash di utara negara itu, kata Pertahanan Awam.

Bas berkenaan dalam perjalanan dari Lima menuju utara wilayah La Libertad dengan menggunakan lebuh raya Tayabamba.

"Kami sudah mengenal pasti 34 mangsa yang cedera, manakala 11 lagi maut dalam kemalangan di wilayah Ancash," kata Pertahanan Awam dalam kenyataan.

Polis dan penduduk tempatan bekerjasama mengeluarkan mayat mangsa yang mungkin masih ada di dalam bas itu.

Penumpang yang cedera dihantar ke hospital wilayah Sihuas untuk rawatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 Mei 2022 @ 9:36 AM