LUWIZO berkahwin dengan wanita kembar tiga pada hari sama. FOTO Agensi
LUWIZO berkahwin dengan wanita kembar tiga pada hari sama. FOTO Agensi
Agensi

Kinshasa: Seorang lelaki di Congo 'bertuah' kerana dapat berkahwin dengan tiga wanita kembar sekali gus pada hari sama.

Oddity Central melaporkan, lelaki berusia 32 tahun dikenali dengan nama Luwizo itu berkahwin dengan Natasha, Natalie dan Nedege, malah perkahwinan mereka mendapat perhatian apabila menjadi tajuk berita antarabangsa.

"Saya berasa seperti sedang bermimpi," kata Luwizo yang melangsungkan perkahwinannya di Kivu Selatan dekat timur Congo.

Awalnya, Luwizo bertemu dengan salah seorang daripada kembar tiga itu iaitu Natalie dan jatuh hati dengan wanita itu.

Namun, kisah percintaan Luwizo menjadi lebih menarik selepas Natalie memperkenalkannya dengan dua adik beradik kembarnya iaitu Natasha dan Nedege.

Tanpa diduga, tiga beradik kembar itu yang 'melamar' Luwizo hingga dia hampir pengsan.

"Ketika kami beritahu dia harus mengahwini kami semua, dia terkejut.

"Memandangkan dia sudah jatuh cinta pada kami semua, tiada yang dapat menghalang perancangan kami kerana kami turut mencintainya," kata salah seorang isterinya.

Luwizo memberitahu Newsflash yang dia mesti mengahwini Natalie, Natasha dan Nedege kerana mereka kembar tiga.

Bagaimanapun, tidak semua bersetuju dengan perkahwinan Luwizo termasuk ibu bapanya.

"Ibu bapa saya tidak memahami apa yang saya lakukan," katanya.

Perkahwinan diteruskan tanpa mendapat restu keluarga, malah bapa Luwizo tidak menghadiri majlis perkahwinannya.

Difahamkan, berkahwin dengan lelaki sama bukanlah perkara asing bagi kembar tiga itu kerana mereka sudah terbiasa berkongsi sejak kecil.

Luwizo mengaku gembira kerana dapat meninggalkan keluarganya untuk menikahi tiga beradik kembar itu.

"Kita harus melepaskan sesuatu untuk mendapatkan yang lain.

"Saya gembira dapat berkahwin dengan mereka dan tidak peduli apa orang lain katakan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 14 Mac 2022 @ 12:18 PM