MOHAMED Hafiz (kiri) dan Fara.
MOHAMED Hafiz (kiri) dan Fara.
Sudirman Mohd Tahir


Kuala Lumpur: "Hanya Fara yang boleh jelaskan kenapa perkahwinan kami dibatalkan.”

Demikian penjelasan Mohamed Hafiz Baidiuzzaman, 30, yang sebelum ini dikatakan bakal mengahwini pengacara popular Fara Fauzana pada 17 September ini.

Hafiz berkata, dia memohon maaf kepada mana-mana pihak yang terjejas dengan berita pembatalan majlis itu seperti yang diumumkan Fara pada Ahad lalu.

"Sebab mengapa perkahwinan itu dibatalkan hanya diketahui oleh Fara. Jadi saya dengan rendah hati merayu kepada pihak media supaya memberikan saya dan keluarga privasi," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Menerusi kenyataan sama, Hafiz mengakui masih terkesan dengan pembatalan majlis itu.

Hafiz turut menjelaskan dia mempunyai sebab tersendiri kenapa tidak hadir pada sidang media yang diadakan Fara pada 1 Ogos lalu.

"Saya tidak hadir berdasarkan persetujuan bersama dengan Fara. Ia dilakukan untuk melindungi saya dan privasi keluarga," katanya.

Dalam pada itu, Hafiz turut menafikan dia sudah berkahwin atau sengaja menyorok status perkahwinannya daripada Fara sehingga perkara itu menjadi punca pembatalan majlis mereka.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 7 September 2016 @ 4:36 PM