TARRANT (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac 2019. FOTO AFP.
TARRANT (tengah) ketika dihadapkan ke Mahkamah Daerah Christchurch pada 16 Mac 2019. FOTO AFP.
Agensi

Melbourne: Mahkamah Tinggi New Zealand menetapkan 24 Ogos ini untuk menjatuhkan hukuman terhadap lelaki Australia didakwa membunuh 51 penganut Islam dalam kejadian tembakan di dua masjid di Christchurch, tahun lalu.

Agensi Anadolu yang memetik Radio New Zealand melaporkan, penangguhan itu kerana mangsa serta keluarga berada di luar New Zealand dan tidak dapat kembali ke negara itu berikutan sekatan Covid-19.

Mac lalu, tertuduh, Brenton Tarrant mengaku bersalah atas 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cuba membunuh dan satu pertuduhan melakukan aktiviti keganasan, awal tahun lalu.

Hakim Cameron Mander berkata, prosiding dijangka mengambil masa tiga hari, tetapi mungkin dilanjutkan jika perlu.

Mander berkata, sekiranya mangsa dan ahli keluarga tidak dapat menghadiri prosiding itu, telesidang akan digunakan untuk membolehkan mereka menyertainya.

Tarrant berada dalam tahanan polis sejak 15 Mac 2019, selepas ditahan dan dituduh menggunakan senjata semi automatik mensasarkan penganut Islam yang menghadiri solat Jumaat di dua masjid di bandar Christchurch.

Tarrant pada mulanya mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu, bagaimanapun menukar pengakuan bersalah, pada Mac lalu.

Dalam kejadian 15 Mac 2019, Tarrant yang bersenjatakan senjata api semi-automatik melepaskan tembakan di Masjid Al Noor, sebelum melakukan perkara sama di Masjid Linwood.

Pembunuhan kejam itu disiarkannya secara langsung menerusi media sosial.

Semua mangsa adalah orang Islam termasuk, kanak-kanak, wanita dan orang tua.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 3 Julai 2020 @ 4:00 PM