TARRANT ketika didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan keganasan. FOTO Agensi
TARRANT ketika didakwa di mahkamah atas tuduhan membunuh dan keganasan. FOTO Agensi
Reuters

SYDNEY: Perbicaraan pengganas yang melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch awal tahun ini, ditangguhkan sebulan kerana tarikh asal bertembung dengan Ramadan.

Dalam kejadian 15 Mac lalu itu, Brenton Tarrant, 29, yang bersenjatakan raifal automatik melepaskan tembakan ketika solat Jumaat menyebabkan 51 jemaah maut.

Tarrant, pelampau kulit putih mengaku tidak bersalah terhadap 92 tuduhan, termasuk membunuh dan keganasan.

Perbicaraannya dijadualkan bermula pada 4 Mei 2020 tetapi semalam, Hakim Mahkamah Tinggi, Cameron Mander memaklumkan tarikh itu bertembung dengan Ramadan.

“Beberapa saksi yang akan dipanggil pada perbicaraan itu beragama Islam,” kata Mander dalam satu kenyataan.

Menurutnya, pasukan pembelaan Tarrant bersetuju melewatkan perbicaraan dan tarikh baru ditetapkan pada 2 Jun 2020.

Komuniti Islam di New Zealand sebelum ini mengkritik keadilan sistem mahkamah kerana mengambil masa terlalu lama untuk perbicaraan bermula selain diadakan ketika Ramadan.

Pendakwa raya menjangka perbicaraan itu mengambil masa kira-kira enam minggu tetapi peguam suspek percaya ia mungkin lebih lama.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 September 2019 @ 7:00 AM