BRENTON Tarrant. FOTO AFP
BRENTON Tarrant. FOTO AFP
Reuters

Wellington: Siasatan koroner terhadap kejadian tembakan beramai-ramai paling teruk di New Zealand, dibuka pada Selasa lalu, dengan sambutan tradisional Maori dan bacaan al-Quran bagi mengenang 51 penganut Islam yang dibunuh dalam tragedi itu.

Berbekalkan senjata separa automatik berkapasiti tinggi, Brenton Tarrant, 32, membunuh 51 individu dan mencederakan puluhan yang lain selepas melepaskan tembakan di dua masjid di Christchurch.

Tarrant mengeluarkan manifesto perkauman sejurus sebelum serangan dan menyiarkan insiden tembakan secara langsung di Facebook (FB).

Dia disabitkan dengan 51 pertuduhan membunuh, 40 pertuduhan cubaan membunuh dan satu pertuduhan melakukan perbuatan pengganas dan sedang menjalani hukuman penjara seumur hayat tanpa parol.

Timbalan Ketua Koroner Brigitte Windley semasa membuka inkuiri itu berkata, siasatan itu akan berusaha untuk memberi penerangan mengenai apa yang berlaku dan mempertimbangkan cadangan untuk mengurangkan peluang kejadian serupa, berulang.

"Siasatan ini bukan bertujuan mewujudkan liabiliti atau kecuaian.

"Saya tidak mempunyai mandat untuk memberikan pampasan atau mengarahkan prosiding selanjutnya," katanya.

Dalam tempoh enam minggu akan datang, siasatan akan meneliti 10 isu, termasuk tindak balas oleh perkhidmatan kecemasan dan kakitangan hospital, sama ada Tarrant mendapat bantuan langsung daripada orang lain dan punca kematian bagi setiap individu yang meninggal dunia.

Windley dijangka tidak akan mengeluarkan penemuannya sehingga 2024.

Inkuiri adalah proses undang-undang yang diperlukan oleh undang-undang New Zealand untuk memeriksa kematian yang tidak dijangka dan menerima input daripada pemeriksa perubatan, polis, responden pertama dan saksi lain kepada kematian.

Bilik mahkamah penuh, dan ruang khas disediakan di bilik mahkamah berasingan untuk keluarga menonton inkuiri itu secara langsung.

Sebelum saksi pertama muncul, video gambar dan kenangan semua mereka yang meninggal dunia, ditayangkan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 26 Oktober 2023 @ 11:29 AM