JOKO Widodo. FOTO REUTERS
JOKO Widodo. FOTO REUTERS
Reuters

JAKARTA: Presiden Indonesia Joko Widodo (Jokowi) semalam mengarahkan agensi kerajaan menghapuskan dua pangkat perkhidmatan awam pada 2020 untuk digantikan dengan kecerdasan buatan (AI) dalam usaha mengurangkan birokrasi yang dilihat menghalang pelaburan.

Jokowi membuat kenyataan itu ketika membentangkan agenda penggal kedua pentadbirannya kepada pemimpin syarikat besar, yang menyasarkan mengubah struktur ekonomi terbesar Asia Tenggara itu dengan mengurangkan kebergantungan terhadap sumber asli.

Presiden yang penggal kedua pentadbirannya bermula bulan lalu selepas memenangi pilihan raya April lalu itu berkata, Indonesia perlu beralih kepada pembuatan barangan lebih mewah seperti kenderaan elektrik sebaliknya menggunakan bahan mentah seperti arang serta bauksit dalam industri berkenaan dan bukan sekadar untuk eksport.

Perubahan seperti itu akan memerlukan pelaburan asing dan Jokowi berkata, dia akan memperbaiki perniagaan dengan mengatasi puluhan peraturan yang bertindih selain mengurangkan pita merah.

Bagi mengurangkan karenah birokrasi, Jokowi berkata, empat pangkat teratas dalam agensi kerajaan akan dikurangkan kepada dua, tahun depan.

“Saya sudah mengarahkan menteri (pembaharuan pentadbiran dan birokrasi) untuk menggantikannya dengan AI.

“Pentadbiran akan lebih pantas dengan AI,” katanya.

Dia bagaimanapun menambah, perancangan itu memerlukan kelulusan Parlimen.

Jokowi tidak memberikan butiran lanjut, termasuk garis panduan mengenai peranan yang akan terjejas atau bagaimana teknologi itu akan digunakan.

Menurutnya, kerajaan akan menghantar rang undang-undang mengenai pembaharuan cukai kepada Parlimen bulan depan, selain satu lagi berhubung isu tenaga kerja.

Parti politik dalam kerajaan campuran Jokowi mengawal 74 peratus kerusi di Parlimen, seterusnya memudahkan pentadbirannya meluluskan undang-undang.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 29 November 2019 @ 7:10 AM