BADRODIN  melambai tangan kepada wartawan selepas keluar dari bangunan Parlimen, semalam.
BADRODIN melambai tangan kepada wartawan selepas keluar dari bangunan Parlimen, semalam.

Jakarta: Parlimen Indonesia semalam meluluskan perlantikan Badrodin Haiti sebagai ketua polis negara itu yang baru.

Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) mencalonkan Badrodin selepas calon beliau yang pertama, Budi Gunawan ditolak kerana dikaitkan dengan rasuah.

Imej antirasuah Jokowi sebelum ini terjejas selepas Budi yang dicalonkan beliau sebagai ketua polis yang baru terbabit dalam satu skandal rasuah pada tahun lalu.

Jokowi yang menerima kecaman hebat daripada orang ramai menunggu selama beberapa minggu sebelum akhirnya membatalkan pencalonan Budi.

Anggota parlimen sebulat suara meluluskan pelantikan Badrodin sebagai ketua polis selepas melalui sesi temu duga dan ujian yang ketat.

Dalam sesi itu ahli parlimen menyoal Badrodin berhubung beberapa topik termasuklah rasuah, pergerakan radikal dan jenayah.

“Kami berpendapat Badrodin mampu membawa pasukan polis ke arah yang lebih baik,” kata seorang ahli parlimen, Bambang Soesatyo.

Jokowi dipilih sebagai presiden selepas memenangi pilihan raya negara itu pada tahun lalu dan berjanji untuk membentuk kerajaan yang bersih dan efektif.

Bagaimanapun, kontroversi yang tercetus daripada pencalonan ketua polis negara itu mencalar imej bersih beliau.

Ramai pihak mempersoalkan kemampuan Jokowi berdepan dengan pemimpin politik berpengaruh dalam negara yang terkenal dengan amalan rasuah itu. - Reuters

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 17 April 2015 @ 9:40 AM