JOKOWI
JOKOWI

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) berkata, Jakarta tidak akan berkompromi membayar wang tebusan untuk membebaskan 14 warga negara itu yang kini diculik kumpulan militan Abu Sayyaf di selatan Filipina.

“Kami tidak pernah berkompromi dengan perkara seperti itu. Tidak ada urusan membabitkan wang,” katanya.

Jokowi berkata demikian bagi mengulas laporan sebuah syarikat perkapalan yang bersedia membayar wang tebusan untuk membebaskan kru kapalnya yang diculik itu.

Bagaimanapun, Jokowi tidak memberitahu, sama ada dia bersetuju atau tidak dengan usaha syarikat perkapalan berkenaan.

Jokowi menegaskan, kerajaan mahu semua tebusan dibebaskan dengan segera, tetapi dia akui situasinya bukan mudah terutama mangsa berada di Filipina.

“Untuk masuk ke Filipina kita perlukan keizinan dan untuk menghantar tentera Indonesia ke sana juga perlu keizinan.

“Kerajaan Filipina memerlukan kebenaran dari Parlimen dan ini memang sangat menyulitkan kami,” katanya.

Menurutnya, ketika ini kerajaan hanya mampu meneruskan komunikasi dengan Filipina dan dengan jaringan yang negara itu ada.

“Usaha rundingan masih diteruskan termasuk berkomunikasi dengan pihak penculik, tetapi situasinya bukan mudah.

“Ya, kami berdepan dengan kesulitan dan ia bukannya mudah,” tegasnya. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 April 2016 @ 6:46 AM