GIBRAN bersama Selvi.
GIBRAN bersama Selvi.
Agensi

Jakarta: Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi) memindahkan pejabatnya ke Solo di Jawa Tengah bagi memudahkan beliau membuat persediaan untuk majlis perkahwinan anak sulungnya pada Khamis ini.

Jokowi mengambil keputusan untuk menjadikan kediamannya di Solo sebagai pejabat sementaranya selepas beliau tidak dapat mengambil cuti untuk majlis berkenaan.

Mengikut undang-undang Indonesia, Presiden tidak boleh mengambil cuti untuk menguruskan hal berkaitan keluarga.

Jokowi dan isterinya, Iriana dijadualkan menghadiri beberapa majlis bermula esok sebelum perkahwinan anak mereka, Gibran Rakabuming dan pasangannya, Selvi Ananda.

Jurucakap keluarga Jokowi, Anggit Noegroho berkata, Jokowi tidak membawa pegawainya ke pejabat sementaranya itu.

“Solo tidak mempunyai pejabat khas presiden dan Jokowi juga tidak membawa pegawai khas atau menteri sepanjang berada di bandar ini.

“Sekiranya Jokowi perlu menandatangani surat atau berjumpa tetamu, beliau akan lakukan di kediamannya,” katanya.

Menurutnya, Jokowi mempunyai satu bilik khas di kediamannya bagi memudahkan beliau untuk menerima tetamu.

Sementara itu, Datuk Bandar Solo, Hadi Rudyatmo menawarkan kediaman rasminya untuk digunakan sebagai pejabat sementara Jokowi.

“Tiada masalah sekiranya Jokowi mahu menggunakan kediaman rasmi itu sebagai pejabatnya.

“Kediaman rasmi ini adalah hak kerajaan dan beliau bebas menggunakannya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 8 Jun 2015 @ 5:11 AM