CONTOH tanah kompos yang kaya dengan nutrien dan digunakan untuk menanam sayuran di kebun. - Agensi
CONTOH tanah kompos yang kaya dengan nutrien dan digunakan untuk menanam sayuran di kebun. - Agensi
AFP

LOS ANGELES: Washington semalam menjadi negeri pertama di Amerika Syarikat (AS) untuk membenarkan mayat manusia ditukar menjadi baja kompos dalam usaha mengurangkan pembebasan karbon melalui pengebumian dan pembakaran mayat.

Menerusi undang-undang baru yang berkuat kuasa pada Mei tahun depan, mereka yang meninggal dunia di negeri itu mempunyai pilihan untuk menukar mayat mereka menjadi baja yang sesuai untuk menanam sayuran, satu proses dikenali sebagai pengkomposan.

“Pengkomposan menawarkan pilihan kepada pengawetan, pengebumian atau pembakaran mayat yang lebih semula jadi, selamat, mampan dan memberi kesan besar terhadap pelepasan karbon serta penggunaan tanah,” kata pelobi undang-undang berkenaan, Katrina Spade.

Katrina juga adalah pengasas Recompose yang menjadi syarikat pertama menawarkan perkhidmatan itu.

Syarikat itu dengan kerjasama Universiti Washington membuat ujian klinikal menggunakan mayat penderma yang diletakkan di dalam satu tempat penyimpanan besi yang dipenuhi dengan serbuk kayu, sayuran dan jerami.

Tempat penyimpanan itu kemudian ditutup dan mayat dibiarkan terurai oleh mikrob selama 30 hari.

Ia kemudiannya menjadi tanah kering, lembut dan kaya dengan nutrien sama seperti tanah kompos yang boleh dibeli di nurseri serta sesuai untuk menanam sayuran di kebun.

“Semua termasuk tulang dan gigi akan dileraikan. Sistem kami mencipta satu keadaan yang sempurna untuk beberapa mikrob dan bakteria yang meleraikan mayat dengan cepat,” jelas Katrina.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 22 Mei 2019 @ 8:27 PM