NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.
NABIHAH berpuas hati dengan pokok mangga yang ditanamnya.
Yusliza Yakimir Abd Talib


BIARPUN kawasan halaman rumahnya bersimen dan diturap, ia tidak menjadi halangan buat Nabihah Hamid, 32, mengusahakannya menjadi kebun dapur kerana menyedari banyak manfaat yang diperoleh daripadanya.

Walaupun kawasan kosong di rumahnya di Saujana Utama, Sungai Buloh, Selangor itu boleh dikatakan ‘sekangkang kera’, ibu kepada seorang cahaya mata ini bijak menyusun atur ruangan sedia ada dan memanfaatkan sepenuhnya kawasan itu untuk bercucuk tanam.

Menurutnya, mewujudkan taman dapur tidak sesukar yang disangka malah dengan teknologi di hujung jari, maklumat mengenainya begitu mudah dicari, bergantung kepada diri sama ada hendak atau tidak mengusahakannya.

“Minat mula bercambah selepas saya dan suami mula-mula memasuki rumah ini tiga tahun lalu kerana melihat ruangan kosong di depan rumah. Kami berpendapat lebih elok jika tidak dibiarkan begitu saja dan dari situ timbul idea untuk menanam sayur.

“Terbaharu, saya amat berpuas hati dapat melihat buah mangga yang ditanam sendiri di laman rumah berbuah lebat. Jadi, tiada alasan untuk tidak memanfaatkan ruangan yang ada walaupun tinggal di kawasan perumahan dengan ruang terhad,” katanya.

Antara yang menyerikan halaman kecilnya termasuk termasuk cili, limau kasturi, kubis, pandan, kesum, bayam, pokok kari, bunga ros Jepun dan mangga.

Menurut Nabiha, dia banyak mempelajari cara menanam daripada laman sosial dan Internet selain berkongsi minat dengan rakan yang mempunyai minat sama. Baginya bercucuk tanam tidaklah sukar kerana kebanyakan sayuran yang dipilih senang hidup dan tidak memerlukan penjagaan rapi.

Namun, katanya, ada kalanya dia perlu berulang kali menanam benih yang sama kerana tidak menjadi, namun sekiranya benih yang disemai mengeluarkan pucuk atau akar, ia cukup menggembirakan hatinya serta tidak sabar menunggu hasil daripada pokok berkenaan.

Lama-kelamaan, katanya, dia semakin mahir menanam dan seronok dengan hobi barunya itu apatah lagi anaknya dapat bermain bebas sambil menikmati keindahan kebun dapur yang diwujudkannya.

“Ia menjadi satu kepuasan buat saya apabila dapat masak dan makan hasil sayur yang ditanam sendiri. Memang ada sesetengah sayuran kadang-kadang ambil masa lama sebelum boleh dituai, tapi berbaloi sebab sayur kita tanam ini tidak menggunakan racun.

“Kalau beli sayur di pasar, sesetengahnya tidak terjamin sama ada bebas racun serangga yang berbahaya, jadi ada baiknya saya menanam sendiri sayur di rumah.

“Lagipun, saya hanya berdua dengan suami di rumah, hendak beli sayur di pasar kadang-kadang tidak habis dimakan. Jadi dengan ada kebun sendiri kita boleh petik dalam jumlah yang diperlukan saja.

“Saya hendak manfaatkan tanah sekangkang kera yang ada ini. Seronok tanam sayur, rasanya lebih segar. Macam kubis yang saya tanam di sini lebih manis rasanya,” katanya.

Dia turut mengakui dapat banyak berjimat selepas menanam sendiri sayuran kerana ada antaranya seperti cili yang dijual agak mahal dapat dipetik sendiri jika dia memerlukannya.

Dalam pada itu, Nabiha sudi berkongsi tip penjagaan tanaman yang diusahakan. Katanya, bergantung kepada jenis pokok yang kita tanam, campuran tanah juga penting bagi memastikan pokok subur selain air dan baja.

HASIL tanaman yang subur dengan penjagaan betul.
HASIL tanaman yang subur dengan penjagaan betul.

Menurutnya, selain menggunakan baja yang sesuai, perlu pastikan pokok disiram setiap pagi dan petang apatah lagi kini negara sedang berdepan musim panas, tanaman juga perlu disiram lebih kerap.

“Saya juga mengamalkan tip iaitu tanah boleh digunakan untuk kompos sisa makanan. Di dalam tanah, sisa makanan ini akan reput, hancur dan menjadi baja. Tanah itu kemudiannya boleh digunakan semula untuk menanam sayur.

“Jadi dengan langkah ini, kita boleh mengitar semula sisa dapur menjadi bahan berguna. Baja kompos ini selamat dan mesra, jadi kita tidak perlu bimbang kesan sampingan. Cuma, kalau boleh beli bekas bertutup yang besar untuk menampung sisa dapur kita setiap hari.

“Bagi tip menanam pokok mangga pula, kita perlu pastikan batang pokok sudah kukuh. Sekiranya bunga (buah) sudah mula keluar tetapi batangnya belum kukuh lagi, maka ia perlu ditebalkan terlebih dulu.

“Baka mangga cakonan dari Thailand yang saya tanam ini memang bagus dan amat berpuas hati kerana ia boleh berbuah lebih daripada sekali dalam setahun,” katanya.

HOBI berkebun terapi buat Maizura.
HOBI berkebun terapi buat Maizura.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 23 Mac 2019 @ 6:00 AM