NV Subbarow menunjukkan hasil tanaman yang dituai menerusi kaedah berkebun bandar. FOTO IHSAN CAP
NV Subbarow menunjukkan hasil tanaman yang dituai menerusi kaedah berkebun bandar. FOTO IHSAN CAP
Zuhainy Zulkiffli


Georgetown: Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) menyarankan orang ramai supaya menanam sendiri sayur-sayuran mudah di rumah yang boleh menjimatkan kos.

Pegawai Pendidikan dan Penyelaras Pertanian Asli CAP, NV Subbarow berkata, ia susulan tahun 2024 yang dijangka mencabar, terutama mengenai harga makanan tidak menentu.

Subbarow berkata, bagi mengurangkan beban kenaikan harga itu, CAP menggesa masyarakat supaya menanam sayur-sayuran dan tumbuhan herba serta menjadikan amalan itu sebagai azam tahun baharu.

"Kebelakangan ini, CAP menerima banyak aduan daripada golongan petani mengadu mengenai beberapa masalah seperti harga baja serta perubahan cuaca.

"Hujan dan banjir menyebabkan lebih banyak kesukaran kepada petani manakala harga sayur-sayuran meningkat sejak kebelakangan ini dan dijangka bertahan selama setahun lagi," katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Subbarow berkata, amalan berkebun bandar boleh dilakukan dengan berkesan selagi tanaman mendapat cahaya matahari yang mencukupi.

Katanya, dengan cahaya matahari yang betul, air dan kompos, sesiapa saja boleh menanam dan menuai sayur-sayuran walaupun di tempat atau ruang kecil.

"Barangan rumah yang biasa digunakan seperti karton susu, jus dan botol minuman, dan bekas kecil boleh digunakan terhadap tumbuhan yang mempunyai sistem akar yang lebih kecil seperti sayur-sayuran berdaun.

"Bagi tumbuhan dengan akar yang lebih dalam seperti bendi dan terung, barangan seperti tin biskut, tin minyak lima liter dan botol air lima hingga 20 liter boleh digunakan sebagai bekas penanaman," katanya lagi.

Menurutnya, krisis iklim adalah salah satu punca utama peningkatan mendadak dalam kelaparan global.

"Kejutan perubahan iklim memusnahkan kehidupan, tanaman dan mata pencarian serta menjejaskan keupayaan orang ramai bagi mencari makanan.

"Harga baja global juga meningkat lebih cepat daripada harga makanan, yang kekal pada paras tertinggi sepuluh tahun itu sendiri," katanya.

Unjuran Jabatan Pertanian menunjukkan bahawa permintaan makanan dunia mungkin meningkat sebanyak 70 peratus menjelang 2050 dengan sebahagian besar unjuran peningkatan permintaan makanan global dijangka datang daripada peningkatan pendapatan pengguna di rantau seperti Asia, Eropah Timur dan Amerika Latin.

Kesan perang di Ukraine, termasuk harga gas asli yang lebih tinggi, mengganggu pengeluaran dan eksport baja global – mengurangkan bekalan, menaikkan harga dan mengancam bagi mengurangkan hasil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 Disember 2023 @ 4:46 PM