Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir
Ketua Pengarah MPOB, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir

PENYELIDIK di Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) berjaya mencipta teknologi untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (Pome) dengan menggunakan biojisim tempurung kelapa sawit.

Ketua Pengarah, Dr Ahmad Parveez Ghulam Kadir berkata, teknologi itu yang dikenali Karbon Teraktif Tempurung Kelapa Sawit untuk Rawatan Sisa Air adalah penyatuan proses biologi dengan karbon teraktif untuk merawat sisa akhir efluen kelapa sawit (rawatan tertiari) sebelum dilepaskan kepada persekitaran.

"Biojisim tempurung kelapa sawit digunakan sebagai sumber untuk penghasilan karbon teraktif memandangkan ia mempunyai ciri-ciri ketumpatan dan karbon yang tinggi serta kandungan abu yang rendah.

"Oleh kerana biojiisim tempurung kelapa sawit banyak dihasilkan di kilang kelapa sawit, maka kos pengeluaran untuk teknologi ini rendah jika dihasilkan kilang sawit. Prototaip teknologi ini diuji di lapangan dan terbukti berkesan," katanya dalam kenyataan.

Pasukan penyelidik yang diketuai Dr Nahrul Hayawin Zainal mula menjalankan kajian pada 2019 dan melancarkan teknologi itu di Seminar dan Pameran Pemindahan Teknologi (TOT) MPOB 2021, baru-baru ini.

Ahmad Parveez berkata, teknologi untuk merawat Pome itu adalah mesra alam kerana tiada bahan kimia digunakan ketika proses rawatan.

"Pengaktifan secara stim digunakan bagi penghasilan karbon teraktif dan mikrob yang berkesan digunakan ketika proses biologi ketika rawatan tertiari," katanya.

Pembuangan Pome yang dirawat dapat digunakan sebagai air kitar semula dan karbon teraktif yang sudah digunakan boleh dijadikan sebagai baja organik untuk tanaman sayur-sayuran.
- Bernama

Kajian MPOB juga mendapati baja organik ini kaya dengan unsur-unsur nitrogen, fosforus, dan kalium hasil daripada penjerapan sisa akhir efluen POME, katanya.

"Teknologi ini sangat lestari dalam aspek ekonomi, proses dan persekitaran," katanya.

Beliau berkata, sebagai pelengkap kepada teknologi ini, MPOB sudah membangunkan sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu untuk menghasilkan karbon teraktif secara lestari tunggal, berbanding pembakaran dan pengaktifan secara berasingan dalam sistem konvensional.

Ahmad Parveez berkata, teknologi secara dua-dalam-satu itu lebih mudah digunakan berbanding sistem pembakaran secara konvensional.

Beliau berkata, proses pembakaran secara dua-dalam-satu ini juga dapat mengurangkan kos pengeluaran, tenaga, dan masa tanpa menjejaskan hasil dan kualiti karbon teraktif yang dihasilkan, sekali gus menghindari penggunaan bahan kimia ketika proses pengaktifan.

"Sistem pengaktifan karbonisasi secara dua-dalam-satu ini dapat diguna pakai oleh sektor pengilangan sawit dan menyediakan peluang perniagaan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS)," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 2 Ogos 2021 @ 7:10 AM