SEMUA pemenang bergambar sebaik tamat majlis penyampaian hadiah. FOTO Sairien Nafis
SEMUA pemenang bergambar sebaik tamat majlis penyampaian hadiah. FOTO Sairien Nafis
HM Digital

LAPAN pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tamparuli, Sabah tidak menyangka idea mengubah bahan buangan sampah menjadi baja kompos menjuarai pertandingan Toyota Eco Youth (TEY) anjuran UMW Toyota Motor Sdn Bhd.

Projek yang dinamakan ‘Boleh Bah Kalau Kau’ itu berjaya membawa pulang hadiah bernilai RM10,000, sekali gus menewaskan 11 sekolah dari seluruh Malaysia.

Guru Penasihat, Ernest Kelly Subin berkata, projek itu dilaksanakan bagi menangani sikap penduduk yang membuang sampah secara tidak teratur menyebabkan pencemaran alam sekitar atau bau.

Katanya, projek itu meliputi penyediaan sisa sampah atau pengumpulan sisa organik yang dicampur dengan ragi sebelum diproses menjadi baja kompos.

“Dari tinjauan dan kajian yang dijalankan peserta, idea itu dibangunkan untuk menyelesaikan masalah yang dihadapi komuniti di sekeliling mereka.

“Hasilnya, peserta membina pondok dengan menyediakan beberapa tong yang berfungsi untuk penyimpanan sisa organik dengan menambah yis bagi menghasilkan dua jenis kompos penyuburan, iaitu cecair dan pepejal,” katanya.

Program TEY yang dianjurkan sejak 2001 semakin popular dalam kalangan pelajar sekolah dalam usaha mencungkil kreativiti pelajar menjaga kepentingan pemuliharaan alam sekitar bagi memastikan kelestarian pada masa depan.

PELAJAR SMK Tamparuli ketika menjalankan kerja pelupusan sisa organik. FOTO Recqueal Raimi
PELAJAR SMK Tamparuli ketika menjalankan kerja pelupusan sisa organik. FOTO Recqueal Raimi

Dalam usaha membangunkan idea ciptaan masing-masing yang berkonsepkan kitar semula dan mesra alam sekitar, program TEY, sekali gus mendidik anak muda di bangku sekolah menanam rasa cinta terhadap tanggungjawab mereka menjaga persekitaran yang lebih baik untuk kebaikan masyarakat.

Presiden UMW Toyota Motor, K Ravindran berkata, program TEY pada tahun ini yang memasuki edisi ke 19 dengan membawa tema ‘Be the Superhero to save the world’ iaitu sebahagian tanggungjawab sosial korporat untuk mendidik dan menanam rasa cinta golongan anak muda terhadap penjagaan alam sekitar.

“Hingga kini, syarikat melabur RM7 juta untuk program TEY yang meliputi 258 sekolah dan 2,000 pelajar,” katanya.

Hadir sama Timbalan Pengarah Pengoperasian Dasar Pendidikan, Bahagian Pengurusan Sekolah Harian, Kementerian Pendidikan Malaysia, Zulkernai Fauzi yang turut merasmikan program itu.

Sekolah yang memenangi tempat kedua ialah SMK Toh Muda Abdul Aziz, Perak, tempat ketiga Sri KDU Secondary School, Selangor, tempat keempat SMK Tunku Kurshiah dan tempat kelima SMK Yong Peng Johor.

Bagi kategori Video Terbaik dimenangi SMK Yong Peng, Johor dan tenaga pengajar paling membantu dinobatkan kepada Ernest Kelly Subin dari SMK Tamparuli, Sabah.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 20 January 2020 @ 6:30 AM