FOTO Agensi.
FOTO Agensi.
Agensi

BEIJING: Beberapa doktor terpaksa membotakkan kepala seorang pesakitnya yang tersilap ambil racun perosak untuk mencuci rambut semata-mata kerana menyangkakan ia sebagai syampu.

Lelaki dari Kunming, wilayah Yunnan, China itu menyimpan bahan racun dichlorvos atau DDVP di dalam botol dan hanya menyedari kesilapannya awal bulan ini selepas terhidu bau pelik, lapor Kankanews.com

Dia kemudiannya mengalami beberapa gejala termasuk menggigil dan berpeluh sebelum mendapatkan rawatan di Hospital Perubatan Tradisional Cina Yunnan, kata laporan itu.

Doktor memberi rawatan akibat keracunan dan mencukur rambutnya untuk menghilangkan kesan racun terbabit.

“Dia cuba mencucinya dengan air dan cuka. Sebenarnya, ia bukan cara yang betul untuk mencucinya.

“Kami menggunakan pisau pencukur pakai buang. Ada beberapa doktor menggunting dan mencukur rambutnya,” kata timbalan pengarah jabatan kecemasan hospital, Wu Ying.

DDVP yang dihasilkan daripada gas saraf sering digunakan sebagai racun perosak domestik dan industri dan ia diharamkan oleh Kesatuan Eropah sejak dua dekad lalu disebabkan kandungan racun yang tinggi dan memberi kesan berpanjangan terhadap alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Mac 2019 @ 3:32 PM