JET pejuang India yang ditembak jatuh PAF. FOTO TheNews
JET pejuang India yang ditembak jatuh PAF. FOTO TheNews
Reuters

ISLAMABAD: Pakistan menembak jatuh dua jet pejuang India hari ini, ketika ketegangan meningkat sejak insiden pengeboman yang mengorbankan 40 polis separa tentera di Kashmir, dua minggu lalu.

Reuters yang memetik jurucakap tentera Pakistan, Mejar Jeneral Asif Ghafoor, salah satu daripada jet berkenaan ditembak jatuh di Kashmir wilayah tadbiran India manakala satu lagi di kawasan mereka.

Katanya, pihak tentera turut menahan salah seorang daripada juruterbang jet terbabit.

“PAF menembak jatuh dua jet pejuang India dalam ruang udara Pakistan,” katanya menerusi akaun Twitter.

Sementara itu, jurucakap polis India berkata, dua juruterbang dan seorang orang awam dilaporkan terbunuh selepas jet pejuang bertembung di Kashmir tetapi tidak mengesahkan sama ada ia ditembak oleh tentera Pakistan.

Menurut mereka, tiga jet pejuang Pakistan turut masuk ke ruang udara India sebelum dipintas dan dipaksa berpatah balik.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 3:43 PM