SEORANG wanita memegang payung ketika Taufan Mangkhut mula melanda Shenzhen, China. FOTO/REUTERS
SEORANG wanita memegang payung ketika Taufan Mangkhut mula melanda Shenzhen, China. FOTO/REUTERS
Reuters

HONG KONG: Taufan Mangkhut bergerak ke arah Hong Kong dan pantai China hari ini, mengumpul kekuatan di laut China Selatan selepas membadai Filipina.

Ia dianggap taufan tropika paling kuat melanda rantau berkenaan tahun ini, dengan kekuatan angin lebih 200 kilometer sejam, menyamai kepadatan taufan Kategori Lima di Atlantik.

Mangkhut, bermaksud manggis dalam bahasa Thailand, dijangka memasuki sekitar 100 kilometer di selatan Hong Kong dan bergerak ke barat ke arah wilayah Guangdong selain hab perjudian Macau.

“Menurut ramalan terkini, Mangkhut akan berada paling hampir dengan Delta Sungai Pearl sekitar tengah hari ini,” kata Pusat Pemantau Hong Kong.

Petanda ketiga tertinggi taufan itu sudah dinaikkan di Hong Kong, dengan tanda lebih tinggi dijangka dalam masa beberapa jam lagi ketika ombak besar menghempas kawasan rendah dan angin kencang menggegarkan tingkap di kebanyakan bangunan pencakar langit di bandar raya itu.

Sebahagian penduduk dipindahkan dari kawasan rendah dengan lonjakan ribut mencecah 3.5 meter dijangka berlaku.

Puluhan ribu penumpang terkandas di lapangan terbang antarabangsa bandar raya itu hari ini, kata pihak berkuasa lapangan terbang dengan syarikat penerbangan termasuk Cathay Pacific, membatalkan banyak penerbangan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 12:15 PM