MACAU menutup semua kasinonya. FOTO/MACAU
MACAU menutup semua kasinonya. FOTO/MACAU
AFP

Hong Kong: Macau menutup semua kasinonya buat kali pertama dalam sejarah sebagai langkah keselamatan kerana bimbang dengan ancaman taufan Mangkhut yang menuju pulau itu hari ini.

Pihak berkuasa memberi amaran, pulau yang terkenal dengan aktiviti perjudian itu akan dilanda banjir besar disebabkan taufan itu.

Kerajaan Macau dikecam hebat penduduknya tahun lalu kerana gagal membuat persediaan secukupnya sebelum ia dilanda taufan Hato yang membawa kemusnahan besar selain mengorbankan 12 orang.

Satu kenyataan pihak berkuasa semalam memaklumkan bahawa keputusan menutup 42 kasino itu diluluskan pemimpin dan dipersetujui pemilik perjudian.

“Pemberhentian operasi perjudian itu bertujuan menjaga keselamatan kakitangan kasino, pelawat dan penduduk,” menurut kenyataan itu.

Petugas kasino memberitahu agensi berita bahawa kasino terbabit akan ditutup sehingga dimaklumkan kelak ketika pihak berkuasa memberi amaran tahap kedua taufan Mangkhut, tahap tertinggi amaran dikeluarkan.

Biro Kaji Cuaca Macau memberitahu, amaran mengenai taufan itu akan dinaikkan ke paras tertinggi T10 lewat hari ini dengan hujan lebat dan angin kencang dijangka bermula pada tengahari waktu tempatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 16 September 2018 @ 2:31 PM