Beijing: Taufan Mujigae semalam membadai selatan China dengan membawa angin kencang dan hujan lebat di wilayah berkenaan selepas menyebabkan puluhan nelayan di Filipina hilang.

Hampir 200,000 penduduk di selatan China dipindahkan sebelum taufan berkenaan mendarat berhampiran bandar raya Zhanjiang di wilayah Guangdong kira-kira jam 2 petang waktu tempatan, menurut Pusat Meteorologi Kebangsaan.

Menjelang 7 malam, pusat taufan itu dikesan kira-kira 460 kilometer ke barat Hong Kong.

Pihak berkuasa China mengeluarkan amaran tahap tertinggi.

Bagaimanapun, sehingga malam tadi, tiada laporan mengenai kecederaan atau kerosakan dilaporkan.

Dengan membawa angin selaju 180 kilometer sejam, Mujigae atau pelangi dalam bahasa Korea, bergerak menuju ke arah barat laut dengan kelajuan kira-kira 12 kilometer sejam, lapor pusat meteorologi itu.

Taufan itu membadai Guangdong dan wilayah Hainan, tempat ribuan rakyat China berkumpul sempena cuti kebangsaan selama seminggu yang akan berakhir Rabu depan.

Sejumlah besar penerbangan tiba dan berlepas dari lapangan terbang Hainan di Haikou, ibu negeri wilayah itu, dibatalkan sementara perkhidmatan kereta api laju antara Haikou dengan pusat pelancongan utama Sanya digantung kelmarin dan semalam. - Agensi

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 5 Oktober 2015 @ 5:08 AM