SEORANG wanita ditenangkan rakannya selepas keluar dari pusat perlindungan itu yang ditawan lelaki bersenjata. - AFP
SEORANG wanita ditenangkan rakannya selepas keluar dari pusat perlindungan itu yang ditawan lelaki bersenjata. - AFP
ANGGOTA keselamatan dilihat masuk ke dalam bangunan di sebuah pusat perlindungan veteran tentera di California yang ditawan seorang lelaki bersenjata kelmarin. - AFP
ANGGOTA keselamatan dilihat masuk ke dalam bangunan di sebuah pusat perlindungan veteran tentera di California yang ditawan seorang lelaki bersenjata kelmarin. - AFP
Reuters

Yountville (Amerika Syarikat): Tiga tebusan wanita dan seorang suspek yang juga bekas askar Amerika Syarikat (AS) terbunuh selepas lelaki bersenjata itu menawan sebuah pusat perlindungan veteran tentera di California kelmarin, kata pihak berkuasa.

Terdahulu, Senator Bill Dodd memberitahu wartawan, lelaki bersenjata itu adalah penghuni Pathway Home, sebuah program untuk veteran tentera yang mengalami gangguan tekanan pasca trauma atau PTSD.

Tebusan yang terbunuh dipercayai adalah kakitangan di kemudahan berkenaan.

Insiden kepungan itu berlaku kurang sebulan selepas seorang bekas pelajar bersenjatakan raifal membunuh 17 orang di sebuah sekolah menengah di Florida.

Veterans Home of California, di Yountville yang menempatkan kira-kira 1,000 veteran tentera warga emas dan kurang upaya adalah kemudahan terbesar seumpamanya di Amerika Syarikat.

Pathway Home terletak di bangunan berasingan dalam kawasan yang sama.

Menurut sumber, penyerang bersenjatakan raifal itu masuk ke bangunan Pathway Home pada jam 10.20 pagi (waktu tempatan) ketika penghuni lain mengadakan jamuan perpisahan untuk seorang kakitangannya.

Polis mengepung pusat perlindungan itu selama hampir lapan jam sebelum menyerbu masuk.

“Anggota penguat kuasa menyerbu pusat perlindungan itu pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan menemui mayat tiga tebusan wanita dan seorang suspek lelaki di sebuah bilik, disyaki digunakan untuk menahan tebusan.

“Ia adalah satu insiden yang amat menyedihkan, yang kami harap tidak berlaku sama sekali,” kata peronda lebuh raya California, Kapten Chris Childs dalam satu sidang media.

Punca lelaki itu menawan pusat perlindungan berkenaan masih dalam siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 11 Mac 2018 @ 7:38 AM