Gail Saari hilang sejak 22 Januari lalu. - Foto Facebook Gail Saari
Gail Saari hilang sejak 22 Januari lalu. - Foto Facebook Gail Saari
BERNAMA

Kuala Lumpur: Isteri pengarah filem tersohor tempatan U-Wei Saari, Diana Gail Saari, 62, ditemui mati di perairan sebuah pantai di Alameda, California, Amerika Syarikat. Jumaat lalu, setelah tujuh hari dilaporkan hilang.

U Wei atau nama sebenarnya Zuhir, dalam responsnya kepada Bernama melalui Whatsapp, enggan mengulas lanjut dan hanya mencatat: "Terima kasih. Doakan rohnya dirahmati, ditenangi dan disenangi Allah dan berada bersama orang-orang yang beriman”.

Rabu lalu, U-Wei dalam catatan Facebooknya menulis: "I love you usah (gail)."

Status berkenaan dipenuhi dengan ucapan takziah sejak semalam daripada kaum keluarga dan rakan termasuk rakan seni Sabri Yunus, Pyanhabib, Khalid Salleh, Siti Zainon Ismail dan Eman Manan.

The San Francisco Chronicle dalam portalnya www.sfgate.com melaporkan jasad Gail dijumpai Unit Marin Jabatan Polis Oakland di perairan luar pantai Alameda, California pada petang Jumaat (waktu tempatan) selepas diadukan hilang lebih seminggu.

Gail hilang pada 22 Januari di Oakland, California, dan teman-temannya dilaporkan akhir sekali melihatnya kira-kira 10 pagi waktu tempatan hari yang sama.

Beliau bertugas sebagai pengarah penerbitan di Independent Institute, sebuah badan pemikir yang tidak bermotifkan untung di 100 Swan Way, Oakland.

Beliau tinggal dan bekerja di Kuala Lumpur selama beberapa tahun ketika menjadi Editor Urusan bagi majalah Malaysian Naturalist.

Gail mendapat sarjana muda Sastera dari Universiti Tennessee dan ijazah sarjana Sastera dalam Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Ohio.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 31 January 2016 @ 9:43 PM